- Nur Sarina binti Khairruddin
- IKTBN Alor Gajah
- Hits: 32
Perkasakan Operasi Restoran: Pengajar F&B ILKBS Sertai Masterclass Bersama Pakar Industri
KUALA LUMPUR — Seramai 10 orang tenaga pengajar bidang Penyajian Makanan dan Minuman (F&B) daripada empat Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) telah menyertai Kursus Restaurant Performance & Operations Masterclass Training For F&B Industry, baru-baru ini.
Kursus peringkat lanjutan yang berlangsung selama empat hari dari 10 hingga 13 Ogos lalu itu telah diadakan dengan jayanya di Pearl Hotel Kuala Lumpur.
Inisiatif RUP: Intergrasi Amalan Sebenar Operasi F&B
Program latihan ini dijalankan di bawah inisiatif Reskilling, Upskilling dan Profesional (RUP) tenaga pengajar TVET ILKBS. Antara institusi yang terlibat menghantar wakil pengajar termasuklah IKTBN Alor Gajah, IKBN Peretak, IKBN Bandar Penawar, dan IKBN Miri.
Objektif utama pelaksanaan masterclass ini adalah untuk memperkukuh keupayaan para pengajar dalam:
- Pengurusan operasi restoran yang sistematik mengikut standard hotel dan industri komersial.
- Analisis prestasi perniagaan makanan dan minuman bagi memaksimumkan keuntungan dan kualiti perkhidmatan.
- Integrasi amalan sebenar dunia pekerjaan alaf baharu ke dalam silabus latihan teknikal di kampus.
Sesi perkongsian ilmu sepanjang empat hari tersebut telah dikendalikan secara eksklusif oleh dua pakar terkemuka industri F&B iaitu Encik Amerjit Singh dan Encik Cheng Mun Kid.
Pendedahan terus daripada pemain industri ini amat penting bagi memastikan barisan pensyarah ILKBS sentiasa peka dengan dinamika pasaran pelancongan dan hospitaliti semasa, sekali gus berupaya melahirkan graduan TVET yang kompeten, profesional, serta mempunyai kebolehpasaran yang tinggi.
