- Nur Sarina binti Khairruddin
- IKTBN Alor Gajah
- Hits: 39
Perkukuh Kepakaran Pastri, Pengajar IKTBN Alor Gajah Sertai Kursus Lanjutan Di IKBN Kemasik
KEMASIK, 4 OGOS — Seramai barisan tenaga pengajar daripada empat Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) telah menyertai Kursus Advanced Fermentation & Artisan Bread Technology bagi mempertingkatkan kepakaran dalam bidang penyediaan roti, baru-baru ini. Kursus intensif selama empat hari yang bermula dari 1 hingga 4 Ogos lalu itu telah diadakan bertempat di Bengkel Penyediaan Roti, Jabatan Hospitaliti IKBN Kemasik, Terengganu.
Program latihan pengurusan bakeri peringkat lanjutan ini merupakan salah satu kursus yang dirangka khas di bawah inisiatif Reskilling, Upskilling dan Profesional (RUP) untuk memperkasakan kualiti tenaga pengajar TVET di bawah kendalian Kementerian Belia dan Sukan (KBS). Antara institusi yang menghantar wakil pengajar bagi menjayakan kursus ini termasuklah IKTBN Alor Gajah, IKBN Peretak, dan IKBN Kemasik selaku tuan rumah.
Sepanjang sesi latihan berjalan, para peserta telah didedahkan secara mendalam dengan:
- Teknik pembuatan lanjutan bagi penghasilan produk bakeri premium.
- Sains di sebalik proses penapaian (fermentation science) untuk mengekalkan kualiti doh.
- Seni pembuatan roti artisan dan sourdough yang mempunyai permintaan tinggi dalam pasaran industri kulinari moden.
Pihak penganjur turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pengurusan IKBN Kemasik, terutamanya Pengarah Puan Norlia Binti Abdullah, atas sokongan dan kebenaran bagi menggunakan fasiliti serta kemudahan bengkel sepanjang program berlangsung.
Inisiatif peningkatan kemahiran ini diharap dapat memastikan silabus pengajaran bidang hospitaliti di setiap ILKBS sentiasa relevan, moden, serta selari dengan standard dan trend industri makanan global masa kini.
