- Nur Sarina binti Khairruddin
- IKTBN Alor Gajah
- Hits: 9
Lawatan Kerja TKSU (S) dan Pengarah Kemahiran ke IKTBN Alor Gajah
IKTBN Alor Gajah | 9 Jun 2026 – Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Alor Gajah telah menerima lawatan kerja daripada Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Puan Chan Hong Jin. Beliau diiringi oleh Pengarah Bahagian Kemahiran Belia Negara, Encik Mohd Sukri Ismail.
Ketibaan delegasi disambut baik oleh Pengarah IKTBN Alor Gajah, Puan Nor Azah Ahmad Dahalan, bersama-sama barisan pegawai kanan institut.Lawatan kerja tersebut dimulakan di Jabatan Hospitaliti bagi meninjau pelaksanaan latihan kemahiran, melihat hasil produk pelajar, serta berinteraksi dengan para pengajar dan peserta yang sedang membuat persiapan bagi pertandingan WorldSkills Malaysia Belia (WSMB) 2026.
Seterusnya, Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) dan Pengarah Bahagian Kemahiran dibawa ke Bengkel Pendawaian Elektrik untuk melihat pelaksanaan latihan amali, sekali gus beramah mesra dengan pelajar bagi mendapatkan gambaran jelas mengenai pengalaman pembelajaran mereka.
Program diteruskan di ECC IKTBN Alor Gajah dengan sesi taklimat oleh Puan Nor Azah mengenai pengoperasian, pencapaian, dan aktiviti semasa institut. Seterusnya, Puan Chan dalam ucapannya telah berkongsi amanat YAB Perdana Menteri dan YAB Timbalan Perdana Menteri sempena program Hari TVET Negara yang lalu, selain menekankan hala tuju Institusi Latihan Kementerian Belia dan Sukan (ILKBS) sebagai institusi TVET yang dinamik dan selari dengan peredaran teknologi semasa.
Turut diadakan adalah sesi dialog antara pihak pengurusan tertinggi bersama pegawai institusi dan diteruskan sesi bersama barisan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) serta pelajar. Sesi tersebut membuka ruang perkongsian pandangan dan aspirasi dalam usaha memperkukuh kecemerlangan TVET bagi melahirkan modal insan berkemahiran tinggi yang berdaya saing demi memenuhi keperluan pembangunan negara.
Sebagai penutup lawatan, Puan Chan dan Encik Mohd Sukri telah diberikan taklimat khas serta dibawa melawat ke tapak projek naik taraf Jabatan Hospitaliti dan Dewan Tun Syed Ahmad Al-Haj, IKTBN Alor Gajah. Projek naik taraf ini bertujuan untuk meningkatkan kualiti fasiliti sedia ada bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih moden, kondusif, dan relevan dengan perkembangan industri TVET.
Semoga lawatan kerja dan perkongsian aspirasi daripada kepimpinan tertinggi KBS ini dapat menyuntik semangat seluruh warga kerja serta pelajar dalam memastikan IKTBN Alor Gajah terus memacu objektif dan kecemerlangan organisasi..
TVET Pilihan Utama Kerjaya
ILKBS Profesional Terunggul
#teknologihospitaliti
#teknologielektrik
#iktbnalorgajah
#ILKBS
#MalaysiaMadani
#MadaniBekerja
