MIPAR Sesi 2/2026 Labuh Tirai: Pelatih Baharu IKTBN Alor Gajah Sedia Tempuh Dunia TVET

    MIPAR Sesi 2/2026 Labuh Tirai: Pelatih Baharu IKTBN Alor Gajah Sedia Tempuh Dunia TVET

    ALOR GAJAH, 3 Ogos — Perjalanan akademik pelatih baharu Sesi 2/2026 Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Alor Gajah bermula secara rasmi bersempena Majlis Penyerahan Pelajar Baharu dan Penutupan Minggu Paradigma Pelajar Baharu (MIPAR), baru-baru ini. Majlis penuh simbolik itu telah berlangsung dengan jayanya di Surau Al-Qardawi, IKTBN Alor Gajah. 
    Teras Disiplin dan Integriti Sepanjang Pengajian
    Acara dimulakan dengan lafaz ikrar Rukun Negara yang diketuai oleh Saudara Sarvesvaran, sebelum disusuli dengan ucapan wakil pelatih baharu, Saudara Muhammad Ariff bin Mohd Rafi daripada Program Diploma Teknologi Elektrik (Penjaga Jentera Elektrik A4). Para hadirin turut disajikan dengan tayangan montaj yang memaparkan sorotan aktiviti sepanjang minggu suai kenal tersebut.
    Pengarah IKTBN Alor Gajah, Puan Nor Azah binti Ahmad Dahalan, dalam amanatnya menyeru agar semua pelatih sentiasa meletakkan disiplin dan integriti sebagai teras utama diri. Beliau turut menggesa mereka untuk memanfaatkan peluang pengajian ini bagi mencapai kecemerlangan demi masa depan yang gemilang.

    Majlis turut meraikan komitmen para pelatih menerusi penyampaian hadiah bagi pertandingan sepanjang MIPAR dijalankan:
    • Kumpulan Terbaik Keseluruhan: Kumpulan Tok Janggut
    • Kumpulan Kerja Berpasukan Terbaik (Best Teamwork): Kumpulan Badang
    • Pameran Terbaik (Best Showcase): Kumpulan Mat Kilau
    • Peserta Lelaki Terbaik: Muhammad Ariff bin Mohd Rafi
    • Peserta Wanita Terbaik: Fathul Fadhilah binti Rooh Azzam
    Selain itu, seramai 73 orang pelatih turut menerima Sijil Penyertaan Kursus Asas Pertahanan Awam sebagai nilai tambah kemahiran insaniah mereka.
    Kemuncak majlis menyaksikan penyerahan rasmi senarai nama pelatih baharu oleh Encik Saiful Maarof bin Masrom kepada Ketua Jabatan Teknologi Hospitaliti dan Ketua Jabatan Teknologi Elektrik, sekali gus menandakan fasa baharu mereka sebagai warga Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) di bawah Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS).

    Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara Alor Gajah
    KM 34, Jalan Masjid Tanah,
    78300 Masjid Tanah, Melaka
    Malaysia

    No Tel : +606-385 1255
    Email: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.