- Nur Sarina binti Khairruddin
- IKTBN Alor Gajah
- Hits: 188
Pelajar SMK Lubuk China Cipta Minat TVET Di IKTBN Alor Gajah
Masjid Tanah | 11 Disember 2025 – Seramai 80 pelajar Tingkatan 1 hingga 4 dari Sekolah Menengah Kebangsaan Lubuk China bersama guru pengiring telah menyertai aktiviti ‘Mari Mencuba Bersama Abang Senior’ di Jabatan Hospitaliti & Elektrik, IKTBN Alor Gajah, yang bertujuan memberi pendedahan kepada bidang kemahiran TVET.
Program lawatan dimulakan dengan sesi taklimat santai mengenai peluang melanjutkan pengajian di ILKBS serta laluan kerjaya yang ditawarkan dalam bidang TVET. Para pelajar kemudiannya dibawa ke bengkel untuk aktiviti amali, antaranya pepasangan elektrik di Jurusan Pendawaian Elektrik bersama Encik Anuar Fathi, Encik Ilham dan H.R Onn, serta pendedahan skop kerja bidang Penjaga Jentera Elektrik bersama Encik Hashim.
Selain itu, pelajar turut diberi peluang mencuba kemahiran hospitaliti melalui aktiviti demo Table Etiquette, napkin folding dan table setting bersama pelajar Diploma Penyajian. Program ini turut disertai oleh Puan Norsuhaila, mewakili Cawangan Hubungan Industri (KCHI) IKTBN Alor Gajah, yang menyantuni delegasi dari SMK Lubuk China.
Diharapkan melalui lawatan, taklimat dan aktiviti ‘hands-on’ ini, para pelajar memperoleh gambaran sebenar mengenai bidang kemahiran serta peluang kerjaya yang boleh diceburi, termasuk peluang melanjutkan pengajian di IKTBN Alor Gajah / ILKBS, khususnya dalam bidang TVET.
TVET Pilihan Utama Kerjaya
ILKBS Profesional Terunggul
#iktbnalorgajah
#MalaysiaMADANI
#RancakkanMADANI
#MADANIBekerja
#MalaysiaMadaniRakyatDisantuni
