Bachok, 22 April 2026 – Karnival Kerjaya TVET Negeri Kelantan MYFutureJobs anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dengan kerjasama IKTBN Bachok telah berlangsung dengan jayanya di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Bachok.
Program ini melibatkan penyertaan 18 majikan daripada pelbagai sektor dan menawarkan lebih 2,000 kekosongan jawatan kepada pencari kerja, khususnya dalam kalangan belia serta graduan TVET.
Antara pengisian utama karnival ini termasuk sesi temu duga terbuka, peluang bertemu majikan secara terus, pendedahan kepada pelbagai peluang kerjaya dalam industri, serta khidmat nasihat pekerjaan. Selain itu, turut disediakan perkhidmatan berkaitan pendaftaran dan caruman majikan serta pekerja oleh pihak PERKESO.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Dr. Wan Nur Ibtisam binti Wan Ismail, Pengarah ICU JPM Kelantan. Beliau menekankan kepentingan program seperti ini dalam memperkukuh hubungan antara majikan dan pencari kerja serta memperkasa pembangunan tenaga kerja mahir negara.
Dari sudut pasaran buruh, kadar pengangguran di Malaysia kini menunjukkan trend penurunan kepada sekitar 3.3 hingga 3.5 peratus, mencerminkan pemulihan ekonomi yang semakin stabil. Namun begitu, usaha berterusan perlu diperkasa bagi memastikan peluang pekerjaan dapat diakses secara lebih meluas.
Negeri Kelantan dilihat mempunyai potensi besar dalam sektor TVET, pembuatan, perkhidmatan dan ekonomi digital yang wajar dimanfaatkan bagi meningkatkan kebolehpasaran tenaga kerja tempatan.
Penganjuran karnival ini menjadi platform penting dalam membantu pencari kerja mendapatkan peluang pekerjaan yang bersesuaian, sekali gus menyokong agenda pengurangan kadar pengangguran negara.
Disediakan Oleh: Azzime Bin Ammeran
Disunting Oleh: Mohd Rizal Bin Mat Zin
