- Rizal
- IKTBN Bachok
- Hits: 107
Lawatan Pensyarah Fakulti Seni Bina dan Ekistik Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Perkukuh Kerjasama Strategik
Bachok, 13 Januari 2026 - Pensyarah Fakulti Seni Bina dan Ekistik, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) telah mengadakan satu lawatan rasmi ke Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Bachok bagi memperkukuh jaringan kerjasama strategik serta meneroka peluang kolaborasi dalam bidang akademik dan latihan kemahiran.
Lawatan tersebut merangkumi sesi perbincangan dua hala yang memfokuskan kepada potensi kerjasama melibatkan aspek akademik, penyelidikan, pemindahan ilmu, penglibatan pelajar serta pembangunan komuniti. Perbincangan turut menekankan peluang pelaksanaan projek bersama yang berteraskan kepakaran dalam bidang seni bina, perancangan bandar, landskap dan ekistik, selari dengan keperluan industri semasa.
Selain itu, pihak Fakulti Seni Bina dan Ekistik UMK turut berkongsi pandangan serta pengalaman berkaitan pendekatan pembangunan mampan, pemeliharaan warisan serta inovasi reka bentuk yang boleh diterapkan dalam program latihan dan pembangunan kemahiran di IKTBN Bachok.
Hasil perbincangan menunjukkan komitmen positif daripada kedua-dua pihak untuk menjalin kerjasama jangka panjang yang berpotensi memberi manfaat bersama, khususnya dalam meningkatkan kualiti pendidikan, latihan kemahiran, penyelidikan serta khidmat kepakaran.
Lawatan ini mencerminkan komitmen berterusan UMK dalam memperkukuh hubungan strategik dengan institusi latihan dan pendidikan teknikal ke arah pembangunan modal insan dan masyarakat secara holistik dan mampan.
Disediakan Oleh: Norina Arni Binti Ahmad Sobri
Disunting Oleh: Mohd Rizal Bin Mat Zin
