- Rizal
- IKTBN Bachok
- Hits: 14
PROGRAM KESELAMATAN DAN KESIHATAN PEKERJAAN INSTITUT KEMAHIRAN TINGGI BELIA NEGARA BACHOK 2025
Bachok, 2 Disember 2025 – Program Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara Bachok 2025 telah berlangsung dengan jayanya di Dewan Serbaguna dan Padang Kawad Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara Bachok, Kelantan. Program ini dianjurkan oleh Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara Bachok dengan kerjasama Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negeri Kelantan serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Daerah Bachok.
Program bermula seawal jam 8.00 pagi dengan pendaftaran pegawai dan pelajar sebelum diteruskan dengan Taklimat Keselamatan dan Laluan Kecemasan yang disampaikan oleh Encik Wan Rozaimi bin Wan Mamat, Timbalan Pengarah Hal Ehwal Pelajar Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara Bachok. Sesi seterusnya menampilkan Puan Salma binti Mat Rifin, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negeri Kelantan, melalui taklimat mengenai Dasar Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan.
Peserta kemudian mengikuti demonstrasi penggunaan alat pemadam api, latihan Fire Drill, serta sesi ceramah asas pertolongan cemas yang merangkumi teknik CPR dan langkah penting menghadapi situasi kecemasan. Semua demonstrasi dan latihan dikendalikan oleh pegawai bomba serta petugas kesihatan yang berpengalaman bagi memberi pengalaman praktikal kepada para peserta.
Program diakhiri dengan Ucapan Penutup Perasmian oleh Encik Mohd Zabri bin Daud, Timbalan Pengarah Pengurusan Latihan Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara Bachok, yang menyampaikan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini.
Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran dan pemahaman warga institut tentang kepentingan keselamatan dan kesihatan di tempat latihan serta tempat kerja. Ia juga memberikan pendedahan praktikal bagi mengurus risiko kemalangan dan menghadapi kecemasan, selain membudayakan amalan keselamatan sebagai sebahagian daripada rutin harian. Program ini diharapkan dapat mengeratkan kerjasama antara institut dengan agensi keselamatan profesional bagi memastikan persekitaran yang selamat dan sihat untuk semua warga institut.
Disediakan Oleh: Azzime Bin Ammeran
Disunting Oleh: Mohd Rizal Bin Mat Zin
