PROGRAM PEMBUATAN KEK DAN PASTRI DI INSTITUT KEMAHIRAN TINGGI BELIA NEGARA (IKTBN) BACHOK

    PROGRAM PEMBUATAN KEK DAN PASTRI DI INSTITUT KEMAHIRAN TINGGI BELIA NEGARA (IKTBN) BACHOK

    Bachok, 28 Oktober 2025 – Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Bachok telah melaksanakan Program Pembuatan Kek dan Pastri pada 28 Oktober 2025, bertempat di Bilik Pastri 1, IKTBN Bachok. Program ini bermula pada jam 8.30 pagi dan berakhir jam 1.00 tengah hari, dengan penyertaan seramai 21 orang peserta yang terdiri daripada masyarakat setempat dan wakil-wakil agensi di dalam Jajahan Bachok.

    Program ini turut disertai oleh YBrs. Puan Hajah Zanida binti Shafie, Pengerusi PUSPANITA Cawangan Jajahan Bachok, bersama-sama ahli jawatankuasa PUSPANITA yang hadir bagi memberi sokongan terhadap inisiatif pembangunan kemahiran dalam kalangan wanita dan belia. Kehadiran mereka memeriahkan suasana program serta mencerminkan komitmen PUSPANITA dalam memperkasakan peranan wanita melalui bidang kemahiran dan keusahawanan.

    Sepanjang program berlangsung, para peserta diberi tunjuk ajar secara praktikal tentang pelbagai teknik pembuatan kek dan pastri, termasuk penyediaan bahan, teknik membakar yang betul, serta kaedah menghias kek dengan gaya moden dan kreatif. Tenaga pengajar yang menjayakan program ini ialah Puan Rosmas Ayu binti Yaacob, seorang pengajar berpengalaman dalam bidang penyediaan pastri di Jabatan Hospitaliti IKTBN Bachok. Beliau telah berkongsi ilmu, kemahiran, serta tip penting bagi memastikan para peserta memahami dan menguasai asas pembuatan kek dan pastri dengan betul.

    Menurut ketua jabatan hospitaliti Puan Nur Silawati binti Hasanuddin , program seumpama ini bukan sahaja memberi peluang kepada peserta mempelajari kemahiran baru, malah dapat mencetuskan minat mereka untuk menceburi bidang keusahawanan makanan dan pastri yang semakin berkembang pesat.

    Program berakhir dengan sesi penyampaian sijil serta sesi bergambar kenang-kenangan antara peserta, tenaga pengajar, dan wakil PUSPANITA. Suasana ceria dan penuh semangat sepanjang program menggambarkan kejayaan penganjurannya serta sambutan positif daripada semua peserta.Pihak IKTBN Bachok berhasrat untuk terus menganjurkan program berbentuk kemahiran seperti ini pada masa akan datang sebagai usaha memperkasakan belia dan komuniti setempat, khususnya dalam bidang hospitaliti dan kulinari.

    Disediakan Oleh: Mohd Samiumllah Bin Ariffin

    Disunting Oleh: Mohd Rizal Bin Mat Zin

    Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara Bachok
    Kampong Tangok,
    16300 Bachok,
    Kelantan Darul Naim.

    No. Telefon: 09-7787700
    Emel: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.