BUKIT MERTAJAM, 5 Mei – Bengkel Pembangunan Soccer Robot anjuran Bahagian Pembangunan Kemahiran Belia (BPKB), Kementerian Belia dan Sukan dengan kerjasama IKTBN Bukit Mertajam telah berlangsung dengan jayanya pada 4 hingga 5 Mei 2026. Program ini menjadi langkah persediaan awal menjelang pertandingan Youth Robot Challenge 2026 (Y-RoboC’26) yang dijadualkan pada 3 hingga 5 Julai 2026.
📍 Bertempat di Dewan Perdana IKTBN Bukit Mertajam, bengkel ini menghimpunkan hampir 80 peserta terdiri daripada pegawai BPKB serta pegawai dan pelajar ILKBS yang bakal bertanding. Sepanjang bengkel, peserta didedahkan dengan aspek teknikal, reka bentuk dan strategi pengendalian Soccer Robot bagi meningkatkan keupayaan serta daya saing menjelang pertandingan.
Selain itu, turut diadakan pada 4 Mei ialah Mesyuarat Kick-Off dan Penyelarasan Jawatankuasa Induk serta Lawatan Tapak Persediaan Penganjuran Y-RoboC’26. Mesyuarat tersebut dihadiri oleh Timbalan Pengarah Kemahiran, Pn. Zakiah binti Mat Jali bersama dua pegawai dari Cawangan Kerjasama Strategik & Kreatif, BPKB. Fokus utama mesyuarat adalah menyelaras persiapan, memperincikan peranan jawatankuasa serta memastikan koordinasi yang tersusun dan berkesan.
👥 Delegasi BPKB turut dibawa melawat bengkel yang sedang dijalankan serta meninjau lokasi pertandingan yang dirancang. Inisiatif ini diharap dapat memperkukuh kesiapsiagaan peserta dan memastikan penganjuran Y-RoboC’26 berjalan lancar serta mencapai matlamat yang diharapkan.
