- Din Syamsuddin
- IKTBN Bukit Mertajam
- Hits: 5
IKTBN BUKIT MERTAJAM TERIMA JANAKUASA 100 kVA BAGI MEMPERKASA LATIHAN KURSUS PENJAGA JENTERA ELEKTRIK (CHARGEMAN) A4
BUKIT MERTAJAM, 13 Julai 2026 – Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Bukit Mertajam telah menerima penyerahan sebuah janakuasa (genset) berkapasiti 100 kVA yang diperoleh menerusi peruntukan Akaun Amanah bagi memperkukuh kemudahan pembelajaran dan latihan amali untuk Kursus Penjaga Jentera Elektrik (Chargeman) A4.
Sebelum penyerahan rasmi dilaksanakan, janakuasa tersebut telah menjalani Factory Acceptance Test (FAT) di Kilang Hong Sheng bagi memastikan spesifikasi, prestasi dan kualiti peralatan mematuhi keperluan teknikal yang telah ditetapkan.
Seterusnya, Site Acceptance Test (SAT) telah berjaya dilaksanakan di Bengkel Penjaga Jentera Elektrik, IKTBN Bukit Mertajam bagi mengesahkan pemasangan, fungsi serta operasi janakuasa sebelum digunakan sebagai peralatan latihan kepada para pelajar.
Proses SAT dan penyerahan aset tersebut telah disaksikan oleh barisan pengajar Kursus Penjaga Jentera Elektrik (Chargeman) serta pihak pengurusan Jabatan Elektrik bagi memastikan aset yang diterima berada dalam keadaan sempurna dan memenuhi keperluan pembelajaran serta latihan.
Kemudahan baharu ini dijangka dapat meningkatkan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran dengan memberi pendedahan kepada pelajar terhadap operasi sebenar sistem janakuasa. Pelajar berpeluang menjalankan latihan secara komprehensif merangkumi aspek operasi, penyelenggaraan, pengujian, penyegerakan (synchronizing) dan penyelesaian masalah (troubleshooting), sekali gus memperkukuh kompetensi teknikal serta meningkatkan kebolehpasaran graduan selaras dengan keperluan industri.
IKTBN Bukit Mertajam terus komited menyediakan kemudahan latihan yang moden, relevan dan berkualiti tinggi bagi melahirkan tenaga mahir yang kompeten, profesional serta berdaya saing dalam memenuhi keperluan sektor industri negara.
