BUKIT MERTAJAM, 19 April – Seramai 130 pelajar Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Bukit Mertajam telah menyertai Program Citra Ibadah: Modul Cintai Solat & Cintai Al-Quran Tahun 2026 yang berlangsung selama tiga hari bermula 17 hingga 19 April 2026 di Surau An-Nur IKTBN Bukit Mertajam.
Program penuh bermakna ini dianjurkan oleh Jabatan Pengajian Umum IKTBN Bukit Mertajam dengan kerjasama Yayasan Dakwah Islam Malaysia (YADIM) serta dibantu oleh Cawangan Pengurusan Pelajar.
Sepanjang program, para pelajar mengikuti pelbagai pengisian rohani, aktiviti pengukuhan ibadah serta pendekatan yang lebih dekat untuk menyemai rasa cinta terhadap solat dan Al-Quran. Selain menambah ilmu, program ini turut memberi penekanan kepada pembinaan sahsiah diri serta memperkukuh hubungan dengan Allah SWT.
Pihak penganjur berharap segala ilmu dan pengalaman yang diperoleh dapat diamalkan dalam kehidupan seharian. Program ini juga mendapat sokongan padu daripada semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakannya.
