PUTRAJAYA, 13 September 2026 - Seramai 4,155 orang graduan dari pelbagai institusi dibawah Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) diraikan dalam Istiadat Konvokesyen ILKBS Ke-21 Tahun 2026. Majlis ini telah berlangsung dengan gilang-gemilang di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) yang dirasmikan oleh YB Dr. Mohammed Taufiq Johari, Menteri Belia dan Sukan.
Dalam majlis yang gilang gemilang ini, Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Bukit Mertajam telah dipilih untuk menerima Anugerah Institut Terbaik.
Kejayaan ini telah diwakili oleh Pengarah IKTBN Bukit Mertajam, TS. Hajah Junita binti Mohamed Ali, sebagai simbol kecemerlangan serta komitmen berterusan seluruh warga institut dalam memastikan penyampaian pendidikan dan latihan kemahiran berada pada tahap yang terbaik.
Pengiktirafan ini bukan sekadar sebuah anugerah, malah mencerminkan hasil usaha, kerjasama, dedikasi dan komitmen seluruh warga IKTBN Bukit Mertajam dalam memperkasakan pendidikan dan latihan kemahiran, di samping menyokong agenda pembangunan belia negara.
Tahniah dan syabas sekali lagi kepada seluruh warga IKTBN Bukit Mertajam atas pencapaian yang membanggakan ini. 👏
Semoga kejayaan ini terus menjadi pemangkin kepada seluruh warga institut untuk mempertingkatkan prestasi, memperkukuh kecemerlangan dan terus melakar kejayaan yang lebih gemilang pada masa hadapan.
IKTBN Bukit Mertajam — Melahirkan Generasi Mahir, Kompeten dan Berdaya Saing. 🇲🇾
