KARNIVAL KESENIAN ISLAM TVET RAKAN MUDA ZON PANTAI TIMUR DENGAN KERJASAMA  YADIM 2025

    KARNIVAL KESENIAN ISLAM TVET RAKAN MUDA ZON PANTAI TIMUR DENGAN KERJASAMA YADIM 2025

     
    Program Karnival Kesenian Islam TVET Rakan Muda Zon Pantai Timur dengan kerjasama YADIM 2025 telah berlangsung pada 21-23 November di Kompleks rakan Muda Maran Pahang . Ia merupakan satu platform untuk mencungkil bakat pelajar dalam bidang kesenian berteraskan nilai-nilai Islam. Program ini menjadi medan melahirkan generasi belia yang bukan sahaja berbakat, malah berakhlak, berketrampilan serta mampu mengangkat seni budaya Islam ke peringkat yang lebih tinggi.
    Seramai 15 orang pelajar telah mewakili IKTBN Temerloh, terdiri daripada 10 pelajar lelaki dan 5 pelajar perempuan. Kesemua peserta mengambil bahagian dalam pelbagai acara yang dipertandingkan, antaranya Pertandingan Hafazan Kalamullah, Lestari Kaligrafi Khat, Deklamasi Sajak Islami, Cakna Jawi, Gema Seruan Illahi, Pidato Mimbar Ummah dan Irama Harmoni Islami. Melalui penyertaan ini, para pelajar berpeluang melatih keyakinan diri, kemahiran persembahan, serta memperkukuh pemahaman terhadap seni warisan Islam.
    Penyertaan pelajar amat membanggakan apabila beberapa kategori berjaya meraih kejayaan cemerlang. Antara kemenangan yang dicapai ialah Lestari Kaligrafi Kaligrafi (Perempuan) tempat kedua, Deklamasi Sajak Islami (Lelaki) tempat kedua, Deklamasi Sajak Islami (Perempuan) tempat ketiga, Pidato Mimbar Ummah (Lelaki) Johan, Gema Seruan Ilahi/Azan Johan, serta tempat kedua dalam kategori Irama Harmoni Islami. Kejayaan ini membuktikan usaha gigih pelajar dan bimbingan berterusan para pengajar telah membuahkan hasil yang membanggakan.
    Sekalung ucapan tahniah diberikan kepada semua pelajar yang berjaya meraih kemenangan dalam pertandingan. Pencapaian ini bukan sekadar membawa nama institut, bahkan menjadi bukti kemampuan mereka untuk bersaing dan menyerlah di peringkat lebih tinggi. Diharapkan kejayaan ini memberi inspirasi kepada mereka untuk terus berusaha dan mengembangkan bakat seni Islamik pada masa hadapan.
    Pihak Institut turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam melatih, membimbing dan menyokong para pelajar sepanjang persediaan dan pelaksanaan program ini. Dedikasi para pengajar, rakan-rakan serta pihak pentadbiran amat dihargai dan menjadi tunjang kepada kejayaan keseluruhan pasukan. Semangat bekerjasama dan keprihatinan terhadap pembangunan bakat pelajar amat jelas sepanjang program berlangsung.
    Bagi peserta yang belum mencapai kemenangan, pihak institut tetap menghargai usaha, kesungguhan dan keberanian mereka untuk bertanding. Setiap pengalaman adalah proses pembelajaran, dan kegagalan bukan bermaksud tidak berjaya, tetapi merupakan satu langkah penting menuju kecemerlangan. Diharapkan mereka akan terus berlatih, memperbaiki kelemahan dan mencuba lagi dalam pertandingan yang akan datang.
    Kesimpulannya program ini bukan sahaja menjadi medan pertandingan, malah menjadi ruang penyatuan jiwa, bakat dan potensi para pelajar dalam menghayati keindahan seni berteraskan Islam. Semangat ukhuwwah, adab bertanding, kepatuhan kepada bimbingan pengajar serta kesungguhan peserta telah menjadikan penyertaan kali ini penuh makna dan meninggalkan kesan yang mendalam. Dengan kejayaan yang diraih serta pengalaman yang dipelajari, diharapkan para pelajar terus melangkah dengan yakin, membawa nama institut dengan penuh maruah dan integriti. Sesungguhnya, usaha yang ikhlas dan doa yang tidak putus-putus akan membuka jalan kepada kejayaan yang lebih besar pada masa hadapan. Semoga segala usaha ini diberkati dan menjadi asbab kebaikan yang berpanjangan.

     
     
     
     
     
     
     
     
     
     

    Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara Temerloh
    Kampung Bongsu,
    28500 Lanchang, Temerloh,
    Pahang Darul Makmur.

    09-2805550