- Haszreen
- IKTBN Temerloh
- Hits: 360
PERHIMPUNAN BULANAN KAKITANGAN BERSAMA PELAJAR BAGI BULAN DISEMBER
LANCHANG, 19 Disember 2025 – Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Temerloh telah mengadakan Perhimpunan Bulanan Kakitangan bersama Pelajar bagi bulan Disember dengan suasana penuh semangat di Dewan Serbaguna, hari ini.
Perhimpunan kali ini dikendalikan buat julung kalinya oleh Bahagian Pentadbiran dan Kewangan. Majlis yang dipengerusikan oleh Encik Mohd Fazdil bin Sharani itu turut memperkenalkan elemen baharu dengan memainkan Lagu Perkhidmatan Awam buat pertama kali sebagai simbolik memperkasakan integriti dan profesionalisme warga institut.
Pengarah IKTBN Temerloh dalam amanatnya menzahirkan rasa bangga terhadap komitmen semua pihak sepanjang tahun. Beliau menyifatkan pencapaian tahun 2025 sebagai satu lonjakan besar buat institut dan menggariskan perancangan strategik bagi tahun 2026 untuk terus memacu kecemerlangan TVET negara.
Kemuncak majlis menyaksikan pelancaran e-Buletin Nadi@IKTBN Temerloh yang disempurnakan oleh Tuan Pengarah. Inisiatif digital ini bertujuan meningkatkan keberkesanan penyampaian maklumat serta mendokumentasikan setiap kejayaan warga IKTBN dalam format yang lebih moden dan mudah diakses.
Pada majlis yang sama, beberapa siri penyampaian penghargaan turut diadakan bagi meraikan kecemerlangan warga kerja dan pelajar, antaranya:
• Anugerah Khas Pekerja Terbaik Bulanan Bil 3/2025
• Pemenang Pertandingan EKSA
• Pemenang Karnival Kesenian Islam TVET Rakan Muda (Zon Timur)
• Pemenang Kejohanan Futsal Pelajar IKTBN Temerloh
Majlis diakhiri dengan suasana hiba namun penuh penghormatan apabila pihak institut meraikan dua orang pegawai yang akan bersara wajib pada Januari 2026. Encik Arif bin Che Aman @ Che Man dan Encik Nasir bin Mohamed telah diraikan sebagai tanda penghargaan atas khidmat bakti yang tidak berbelah bahagi sepanjang tempoh perkhidmatan mereka.
