KUNJUNGAN HORMAT BAGI TUJUAN KERJASAMA STRATEGIK

    KUNJUNGAN HORMAT BAGI TUJUAN KERJASAMA STRATEGIK

     
    KLANG, 9 JUN 2026 - Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Temerloh memperkukuh jaringan industri melalui satu sesi lawatan kunjungan hormat ke premis R&A Commercial Vehicles Sdn Bhd yang terletak di Klang, Selangor hari ini.
    Lawatan strategik ini bertujuan untuk meneroka peluang kerjasama dua hala antara institusi latihan kemahiran awam dan pihak industri bagi memperkasakan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) IKTBN Temerloh. Sesi kunjungan hormat ini dihadiri oleh delegasi IKTBN Temerloh yang terdiri daripada enam (6) orang pegawai pengurusan tertinggi dan akademik iaitu En. Muhamad Ezzas bin Abu Bakar - Timbalan Pengarah Pengurusan Latihan, Pn. Siti Aishah binti Mustafa - Pemangku Timbalan Pengarah Hal Ehwal Pelajar merangkap Ketua Cawangan Kerjasama Strategik, En. Syed Azman bin Tuan Temerang - Ketua Jurusan Teknologi Penyelenggaran Automotif, En. Mohd Arzlan bin Arshad - Ketua Jabatan Automotif, En. Muhammad Almi bin Abdullah - Ketua Jabatan Elektrikal & Mekanikal serta Pn. Rozita bt Mohamed - Pegawai CKS.
    Ketibaan delegasi IKTBN Temerloh telah disambut mesra oleh barisan pengurusan kanan R&A Commercial Vehicles Sdn Bhd yang diketuai oleh En. Azrizal bin Alias – Assistant Manager Production, En. Ahmad Faliquddin bin Mohamad – Operation Manager, Ms. Yeoh Jing Yih – Aftersales & Workshop Operation Manager, Ms. P. Satvinder Kaur A/P Pram Singh – Admin Executive, Pn. Norzilawati binti Mohd Saleh – HR Officer dan Mr. Ban Joon Sin – Production Consultant.
    Sesi lawatan dimulakan dengan sesi pembentangan korporat oleh pihak R&A Commercial Vehicles Sdn Bhd bagi memperkenalkan fungsi utama industri, kepakaran syarikat serta teknologi komersial terkini yang digunapakai dalam sektor kenderaan berat. Seterusnya, agenda diteruskan dengan pembentangan khas oleh Pn. Siti Aishah selaku wakil delegasi IKTBN Temerloh yang membentangkan hala tuju pertemuan potensi kolaborasi masa hadapan serta kepentingan sinergi antara kurikulum IKTBN Temerloh dengan keperluan pasaran kerja semasa. Susulan pembentangan tersebut satu sesi dialog industri yang produktif telah diadakan bagi membincangkan ruang kerjasama seperti latihan industri/ internship pelajar, penempatan kerjaya serta perkongsian kepakaran teknologi.
    Sebelum lawatan berakhir, delegasi IKTBN Temerloh telah dibawa melawat ke ruang bengkel dan fasiliti pengeluaran utama syarikat. Melalui sesi walkabout ini para pegawai IKTBN dapat melihat secara dekat operasi harian syarikat, standard keselamatan serta proses pembuatan dan penyelenggaraan kenderaan komersial yang dijalankan oleh pihak industri.
    Kerjasama strategik ini diharap dapat membuka lebih banyak peluang kepada para pelajar IKTBN Temerloh untuk pendedahan industri yang sebenar sekaligus melahirkan modal insan TVET yang kompeten, berdaya saing dan menepati piawaian industri negara.

    Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara Temerloh
    Kampung Bongsu,
    28500 Lanchang, Temerloh,
    Pahang Darul Makmur.

    09-2805550