MAJLIS DIALOG BERSAMA INDUSTRI 2025
Ampang, Kuala Lumpur 28 Oktober 2025 - Majlis Dialog Bersama Industri 2025 anjuran Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Temerloh telah berlangsung dengan jayanya hari ini.
Majlis ini bertujuan memperkukuh hubungan strategik antara institusi dan pihak industri dalam usaha memperluas pelaksanaan Latihan Industri (On-the-Job Training, OJT) bagi pelajar IKTBN Temerloh. Sebanyak 7 syarikat telah hadir dan menyatakan komitmen untuk meneroka peluang kerjasama dalam pelaksanaan OJT, pembangunan kemahiran teknikal, dan perkongsian kepakaran industri. Kehadiran wakil industri ini mencerminkan sokongan berterusan terhadap pembangunan modal insan yang berdaya saing dan relevan dengan keperluan semasa pasaran kerja.
Majlis telah dirasmikan oleh Tuan Pengarah IKTBN Temerloh yang turut mempengerusikan sesi dialog bersama wakil industri. Dalam ucapan perasmian, beliau menekankan kepentingan sinergi antara institusi latihan dan sektor industri dalam melahirkan tenaga kerja yang kompeten dan bersedia menghadapi cabaran teknologi masa kini.
Majlis dimulakan dengan pembentangan pengenalan IKTBN Temerloh oleh Puan Ketua Cawangan Kerjasama Strategik dan Kaunseling Kerjaya (CKSKK), yang memperincikan bidang pengajian, kemudahan latihan, serta pencapaian institusi. Pembentangan turut disusuli dengan input analisa dan statistik kebolehpasaran pelajar, yang menunjukkan peningkatan kadar penempatan kerja dalam sektor teknikal dan kejuruteraan.
Sesi dialog yang berlangsung secara interaktif telah membuka ruang kepada wakil industri untuk berkongsi pandangan, keperluan semasa, serta cadangan penambahbaikan terhadap pelaksanaan OJT. Beberapa cadangan strategik telah dikemukakan, termasuk penyesuaian modul latihan dengan teknologi terkini, penempatan pelajar secara berfasa, dan penglibatan industri dalam penilaian kompetensi.
Majlis ini diakhiri dengan sesi penyampaian sijil kepada semua wakil industri sebagai langkah awal membina jalinan kerjasama yang lebih kukuh dan berimpak tinggi.
