MAJLIS JALINAN KERJASAMA MOU IKTBN TEMERLOH 2025
Ampang, Kuala Lumpur 27 Oktober 2025 - Majlis Jalinan Kerjasama Memorandum Persefahaman (MoU) IKTBN Temerloh 2025 telah berlangsung dengan jayanya hari ini.
Majlis berprestij ini menyaksikan pemeteraian MoU antara Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Temerloh dengan empat (4) syarikat strategik yang bersetuju untuk menjalin kerjasama dalam pelbagai bidang teknikal dan pembangunan kemahiran.
Antara syarikat yang terlibat ialah:
1. ACS Racing Sdn Bhd. Fokus kepada penyenggaraan dan servis enjin kereta serta sistem penghawa dingin kereta. Syarikat ini mengkhususkan diri dalam kedua-dua aspek ini, dengan empat cawangan di Lembah Klang dan dua di Johor.
2. ARR Autocare Sdn. Bhd. Fokus dalam menyediakan peluang latihan industri dan pembangunan modul teknikal terkini dalam bidang penyelenggaraan dan membaiki kenderaan bermotor.
3. ARH Autocare Sdn. Bhd. Juga menyediakan peluang latihan industri dan pembangunan modul teknikal terkini dalam bidang penyelenggaraan dan membaiki kenderaan bermotor.
4. Right Click Solution Sdn Bhd. Menawarkan kolaborasi dalam bidang merekabentuk, mencetak & menjual bahan bercetak, fotografi dan lain-lain serta menjual bahan bercetak tarpaulin dan kanvas.
Kerjasama ini merangkumi pelbagai bentuk inisiatif seperti:
* Penempatan pelajar dalam program latihan industri.
* Pembangunan bersama modul teknikal dan teknologi baharu.
* Penganjuran bengkel dan seminar teknikal.
* Perkongsian kepakaran dalam bidang kejuruteraan, automasi, dan teknologi hijau.
Majlis ini turut dihadiri oleh tuan Pengarah IKTBN Temerloh, pengurus bersama seorang kakitangan syarikat serta Ketua Cawangan CKSKK dan 3 orang pegawai CKSKK berasama 2 orang pegawai CPP selaku urusetia majlis.
Dalam ucapan perasmian, Pengarah IKTBN Temerloh menekankan bahawa kerjasama ini adalah langkah penting dalam memperkukuh ekosistem pendidikan teknikal negara dan menyediakan pelajar dengan pengalaman industri yang relevan dan berimpak tinggi.
Majlis turut diserikan dengan sesi pertukaran dokumen MoU antara pihak kerajaan dengan pihak-pihak syarikat kerjasama.
