“MOH TUKAR MINYAK HITAM MOTOR BERSAMA KOPERASI”
Temerloh, 1 November 2025 - Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Temerloh dengan kerjasama Koperasi IKTBN Temerloh Berhad telah dijemput oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia Negeri Pahang untuk bersama berkolaborasi bagi menjayakan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) sempena Sambutan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil (HPKK2025) Peringkat Kebangsaan.
Program ini merupakan inisiatif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Cawangan Pahang bagi memberi perkhidmatan komuniti melalui aktiviti penyelenggaraan dan penukaran minyak hitam motosikal secara percuma kepada orang awam terutama yang berpendapatan rendah.
Program ini telah dirasmikan oleh Tn. Hj Rahman bin Mohd Din, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar & Pemantauan), Kementerian Pembangunan Usahawan & Koperasi bersama-sama Pn. Noor Afifah binti Abdul Razak, Ketua Pegawai Eksekutif, Suruhanjaya Koperasi Malaysia. Majlis ini disaksikan bersama-sama Tuan Pengarah IKTBN Temerloh, En. Azian bin Hussain dan Pengerusi Koperasi IKTBN Temerloh Berhad, En. Mohd Arzlan bin Arshad.
Seramai 2 orang pengajar dan 5 orang pelajar dari Jurusan DQY34 terlibat dalam menjayakan aktiviti ini. Program ini memberi peluang kepada pelajar untuk mengaplikasikan kemahiran yang dipelajari di bengkel dalam situasi sebenar, di samping memupuk semangat kesukarelawanan dan tanggungjawab sosial terhadap masyarakat.
IKTBN Temerloh mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat termasuk SKM Cawangan Pahang, Koperasi IKTBN Temerloh Berhad, dan komuniti setempat yang hadir memberikan sokongan padu.
