- Haszreen
- IKTBN Temerloh
- Hits: 77
PERSEDIAAN KONTINJEN KAWAD KAKI IKTBN TEMERLOH KE PERBARISAN SEMPENA HARI KEBANGSAAN KE-69 PERINGKAT DAERAH TEMERLOH TAHUN 2026
Lanchang, 27 Ogos 2026 – Dalam menyemarakkan semangat patriotisme, perpaduan dan kecintaan terhadap negara, Kontinjen IKTBN Temerloh kini giat menjalani latihan intensif sebagai persediaan menghadapi Perbarisan Sempena Hari Kebangsaan Ke-69 Peringkat Daerah Temerloh Tahun 2026.
Latihan yang dilaksanakan bukan sahaja bertujuan memantapkan disiplin, kekemasan dan kekompakan barisan, malah turut menjadi wadah dalam menyemai semangat patriotisme serta jati diri dalam kalangan pelajar. Melalui latihan yang teratur dan berterusan, para pelajar dididik untuk mengutamakan kerjasama, ketepatan pergerakan, ketahanan fizikal serta semangat berpasukan.
Persediaan latihan ini dikendalikan sepenuhnya oleh Unit Disiplin dan Kawalan Pelajar, Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP), IKTBN Temerloh. Latihan diadakan setiap hari bermula 25 hingga 30 Ogos 2026 bertempat di Padang Kawad IKTBN Temerloh.
Seramai 41 orang pelajar telah dipilih untuk mewakili IKTBN Temerloh dalam perbarisan sempena Hari Kebangsaan Ke-69 Peringkat Daerah Temerloh Tahun 2026. Pemilihan ini membuktikan komitmen institut dalam memberi ruang dan peluang kepada pelajar untuk menyertai program kenegaraan yang mampu membentuk disiplin, keyakinan diri, kepimpinan serta semangat cintakan tanah air.
Dengan semangat juang yang tinggi, disiplin yang mantap, kerjasama yang erat serta latihan yang rapi, Kontinjen IKTBN Temerloh diyakini mampu menampilkan persembahan yang cemerlang dan seterusnya mengharumkan nama institut di peringkat daerah.
Semoga Kontinjen IKTBN Temerloh terus bersemangat, berdisiplin dan melakar kejayaan dalam Perbarisan Hari Kebangsaan Ke-69 Peringkat Daerah Temerloh Tahun 2026.
