Sijil TVET, Penuhi Kehendak Industri Negara

    MIRI, 6 Sept – Hari Kerjaya TVET Institut Latihan Kementerian Belia dan Sukan (ILKBS) 2025 Zon Borneo yang berlangsung di Permy Mall, Miri hari ini menjadi platform penting dalam mempertemukan golongan belia dengan peluang pekerjaan, selain mengukuhkan hubungan strategik antara institusi latihan dan pihak industri.
    Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man menegaskan bahawa pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) kini bukan lagi laluan kedua, sebaliknya menjadi pilihan utama belia dalam menjamin masa depan kerjaya mereka serta menyokong agenda pembangunan negara.
     
    Beliau berkata kerajaan memberi penekanan yang serius terhadap pengukuhan TVET dalam Rancangan Malaysia Ke-13 termasuk meningkatkan kadar penyertaan belia dalam bidang kemahiran, memperkukuh kerjasama strategik dengan industri, dan memastikan sistem latihan kekal relevan selaras dengan perkembangan teknologi semasa.
     
    “TVET bukan lagi laluan kedua, sebaliknya ia merupakan pilihan utama dalam melahirkan tenaga kerja mahir yang diperlukan industri dan negara,” katanya ketika merasmikan majlis berkenaan. Program anjuran Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Miri dengan kerjasama IKBN Kinarut, Sabah ini turut mendapat sokongan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) melalui inisiatif MyFutureJobs, selain penyertaan pelbagai syarikat dan majikan yang menawarkan peluang pekerjaan kepada pencari kerja.
     
    Beliau turut menekankan bahawa hubungan erat antara ILKBS dan pihak industri membuktikan graduan TVET yang dilahirkan adalah berkualiti tinggi dan memiliki kebolehpasaran yang baik dalam pasaran kerja. Dalam pada itu, program seumpama ini mewujudkan sinergi yang kukuh antara sektor awam dan swasta dalam memperkukuh keseluruhan ekosistem TVET negara.
     
    Antara aktiviti menarik yang dijalankan sepanjang program termasuklah temuduga terbuka MyFutureJobs bersama majikan, pameran pendidikan, pameran industri dan agensi kerajaan, pemeriksaan enjin kenderaan secara percuma, kuiz interaktif, serta pertandingan e-Sukan (E-sport).
    Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengarah IKBN Miri, Encik Mohamad Mazlan Anis serta wakil Pengarah IKBN Kinarut, Sabah, Encik Muhammad Nazri Tumin.
     

    Bahagian Pembangunan Kemahiran Belia,
    Aras 3, Menara KBS,
    Kementerian Belia & Sukan Malaysia,
    No 27, Persiaran Perdana,Presint 4,
    Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
    62570, Putrajaya, Malaysia

    No Tel :- +60 3-8871 3646
    Emel : pertanyaanbpkb@kbs.gov.my

    Please publish modules in offcanvas position.