ILKBS RAIH 13 PINGAT DALAM PERTANDINGAN AKHIR WSMB DAN WSMP 2026

    ILKBS RAIH 13 PINGAT DALAM PERTANDINGAN AKHIR WSMB DAN WSMP 2026

    MELAKA, 5 NOVEMBER 2026 – Institut Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) terus mengukuhkan reputasinya sebagai institusi peneraju latihan kemahiran negara apabila berjaya meraih keseluruhan 13 pingat dalam Pertandingan Akhir WorldSkills Malaysia Belia (WSMB) dan WorldSkills Malaysia Pengajar (WSMP) 2026.

    Daripada jumlah tersebut, ILKBS berjaya membawa pulang 11 pingat menerusi WSMB yang terdiri daripada tiga pingat emas, tiga perak dan lima gangsa. Manakala dua lagi pingat diperoleh menerusi penyertaan dalam WSMP, iaitu satu pingat perak dan satu gangsa.

    Kejayaan ini mencerminkan keupayaan peserta dan tenaga pengajar ILKBS dalam menguasai pelbagai bidang kemahiran teknikal serta memenuhi standard kompetensi yang ditetapkan. Pencapaian tersebut turut membuktikan keberkesanan pelaksanaan latihan kemahiran yang menekankan kecemerlangan teknikal, kreativiti dan daya saing dalam kalangan warga ILKBS.

    Lebih membanggakan, kecemerlangan ILKBS turut terserlah di peringkat antarabangsa apabila dua wakilnya, Muhammad Amar Azli dan Wan Nur Amilya Wan Zolkarnaini berjaya memperoleh pengiktirafan Medal for Excellence dalam pertandingan WorldSkills Shanghai 2026 yang berlangsung pada 23 hingga 28 September 2026.

    Pengiktirafan tersebut membuktikan keupayaan peserta ILKBS untuk bersaing dengan bakat kemahiran terbaik dari seluruh dunia, sekali gus mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa.

    Penyampaian hadiah bagi Pertandingan Akhir WSMB dan WSMP 2026 telah berlangsung dalam Majlis Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri yang disempurnakan oleh YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri.

    Turut hadir ialah YBhg. Dato' Mohd Rahimi Ismail, Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan serta Puan Zakiah Mat Jali, Timbalan Pengarah Kemahiran, Bahagian Pembangunan Kemahiran Belia, KBS.

    Pencapaian ini membuktikan komitmen berterusan Kementerian Belia dan Sukan dalam memperkasa agenda Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta melahirkan tenaga kerja mahir yang kompeten, berkualiti dan berdaya saing di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

    Tahniah dan syabas kepada semua pemenang, peserta, tenaga pengajar, jurulatih serta seluruh warga ILKBS atas pencapaian membanggakan ini. Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin kepada kecemerlangan yang lebih gemilang dalam bidang kemahiran.

    SENARAI PENCAPAIAN PINGAT ILKBS

    A. WORLDSKILLS MALAYSIA BELIA (WSMB) 2026

    Jumlah: 11 pingat (3 Emas, 3 Perak, 5 Gangsa)

    1. Restaurant Services – Emas dan Perak (IKBN Miri)
    2. Patisserie & Confectionery – Emas dan Gangsa (IKBN Kemasik)
    3. Plumbing & Heating – Emas (IKBN Wakaf Tapai)
    4. Cabinet Making – Perak (IKSN)
    5. Cooking – Perak (IKBN Bandar Penawar)
    6. Additive Manufacturing – Gangsa (IKTBN Pagoh)
    7. Bakery – Gangsa (IKTBN Alor Gajah)
    8. CNC Milling – Gangsa (IKTBN Sepang)
    9. Hairdressing – Gangsa (IKBN Kemasik)

    B. WORLDSKILLS MALAYSIA PENGAJAR (WSMP) 2026

    Jumlah: 2 pingat (1 Perak, 1 Gangsa)
    1. Cooking – Perak (IKBN Bandar Penawar)
    2. Cooking – Gangsa (IKTBN Alor Gajah)

    C. PENGIKTIRAFAN WORLDSKILLS SHANGHAI 2026
    1. Muhammad Amar Azli – Medal for Excellence
    2. Wan Nur Amilya Wan Zolkarnaini – Medal for Excellence

    Bahagian Pembangunan Kemahiran Belia,
    Aras 3, Menara KBS,
    Kementerian Belia & Sukan Malaysia,
    No 27, Persiaran Perdana,Presint 4,
    Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
    62570, Putrajaya, Malaysia

    No Tel :- +60 3-8871 3646
    Emel : pertanyaanbpkb@kbs.gov.my