BPKB KEKAL JUARA PERTANDINGAN KIK KBS 2026

    BPKB KEKAL JUARA PERTANDINGAN KIK KBS 2026

    PUTRAJAYA, 6 November 2026 – Bahagian Pembangunan Kemahiran Belia (BPKB), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) terus membuktikan kecemerlangannya apabila berjaya mempertahankan kejuaraan dalam Pertandingan Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Peringkat KBS Tahun 2026 sempena Majlis Sambutan Hari Inovasi KBS.

    Kejayaan tersebut merupakan pengiktirafan terhadap komitmen, kreativiti dan usaha berterusan warga BPKB dalam membudayakan inovasi serta menghasilkan penyelesaian kreatif yang memberikan impak positif kepada organisasi dan kumpulan sasar.

    BPKB mempertaruhkan inovasi ILKBS JobMatch, iaitu sebuah platform yang dibangunkan bagi menghubungkan graduan Institut Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) dengan peluang pekerjaan yang bersesuaian. Inisiatif ini bertujuan memudahkan padanan antara graduan dengan keperluan industri, sekali gus menyokong usaha meningkatkan kebolehpasaran graduan ILKBS.

    Penyampaian hadiah kemenangan telah disempurnakan oleh YBhg. Dato' Rahimi bin Ismail, Ketua Setiausaha KBS.

    Dalam perkembangan sama, pertandingan KIK Kategori ILKBS turut menyaksikan Institut Kemahiran Sukan Negara (IKSN) muncul sebagai Johan, diikuti Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Bachok sebagai Naib Johan dan IKTBN Sepang di tempat ketiga.

    Lebih membanggakan, IKSN turut dinobatkan sebagai Johan Keseluruhan KIK KBS 2026, sekali gus melengkapkan kejayaan membanggakan warga ILKBS dalam pertandingan pada tahun ini.

    Pencapaian ini mencerminkan komitmen KBS dalam memperkukuh budaya inovasi, kreativiti dan penambahbaikan berterusan dalam kalangan warga kementerian serta institusi di bawahnya.

    Tahniah dan syabas diucapkan kepada seluruh warga BPKB, IKSN, IKTBN Bachok, IKTBN Sepang serta semua pasukan yang telah mengambil bahagian. Semoga kejayaan ini terus menjadi pemangkin kepada penghasilan lebih banyak inovasi yang berimpak tinggi demi kecemerlangan penyampaian perkhidmatan KBS.

    Bahagian Pembangunan Kemahiran Belia,
    Aras 3, Menara KBS,
    Kementerian Belia & Sukan Malaysia,
    No 27, Persiaran Perdana,Presint 4,
    Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
    62570, Putrajaya, Malaysia

    No Tel :- +60 3-8871 3646
    Emel : pertanyaanbpkb@kbs.gov.my