SIDANG PERTAMA ISTIADAT KONVOKESYEN ILKBS KE-21 TAHUN 2026
PUTRAJAYA, 12 September 2026 – Istiadat Konvokesyen Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) Ke-21 Tahun 2026 berlangsung penuh gemilang di Putrajaya International Convention Centre (PICC), dengan perasmian disempurnakan oleh YB Dr. Mohammed Taufiq Johari, Menteri Belia dan Sukan.
Turut hadir YBrs. Puan Chan Hong Jin, Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) KBS dan YBrs. En. Mohd Sukri Ismail, Pengarah Kemahiran, Bahagian Pembangunan Kemahiran Belia, KBS.
Seramai 4,155 graduan ILKBS menerima pengiktirafan bagi pelbagai peringkat pengajian, meliputi Diploma Lanjutan, Diploma, Sijil Lanjutan dan Sijil. Konvokesyen bagi IKBN Kinarut dan IKBN Miri turut diadakan di International Technology & Commercial Centre (ITCC), Penampang, Sabah dan Pullman Miri Waterfront, Miri, Sarawak pada Ogos lalu.
Dalam sidang pertama ini, tiga anugerah utama telah disampaikan, iaitu Anugerah Graduan Terbaik ILKBS 2026 kepada 17 penerima, Anugerah Graduan Terbaik Keseluruhan ILKBS 2025 kepada Muhammad Hafiz Rahim dari IKTBN Temerloh bagi Diploma Teknologi Kejuruteraan Automotif (Penyelenggaraan), serta Anugerah Khas Menteri Belia dan Sukan 2025 kepada SD Guthrie Berhad.
Istiadat Konvokesyen ILKBS Ke-21 ini menjadi wadah pengiktirafan terhadap kejayaan dan pencapaian graduan yang telah menamatkan pengajian serta latihan kemahiran dengan penuh dedikasi dan ketekunan. Kejayaan ini diharap menjadi titik permulaan kepada langkah lebih besar dalam memperkasa TVET serta menyumbang kepada pembangunan negara.
Tahniah dan syabas diucapkan kepada seluruh graduan ILKBS Ke-21 Tahun 2026.
