SIDANG KEDUA ISTIADAT KONVOKESYEN ILKBS KE-21 TAHUN 2026
PUTRAJAYA, 12 September 2026 – Sidang Kedua Istiadat Konvokesyen Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) Ke-21 Tahun 2026 telah berlangsung dalam suasana penuh gemilang dan bermakna, dengan disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Rahimi Ismail, Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Turut hadir YBrs. Puan Chan Hong Jin, Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik), KBS serta YBrs. En. Mohd Sukri Ismail, Pengarah Kemahiran, Bahagian Pembangunan Kemahiran Belia, KBS.
Istiadat ini menjadi wadah bagi meraikan kejayaan para graduan ILKBS yang telah menamatkan pengajian serta latihan kemahiran setelah melalui perjalanan yang penuh usaha, pengorbanan dan ketekunan.
Setiap graduan yang melangkah ke pentas dan menerima skrol bukan sahaja membawa pencapaian akademik dan kemahiran, malah turut membawa harapan serta aspirasi untuk melangkah ke peringkat yang lebih tinggi dalam kehidupan dan kerjaya.
Sidang Kedua ini turut menjadi simbolik kepada komitmen ILKBS dalam melahirkan generasi tenaga mahir yang kompeten, berdaya saing dan mampu memenuhi keperluan industri, selaras dengan usaha kerajaan memperkasa agenda Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Tahniah dan syabas diucapkan kepada seluruh graduan ILKBS Ke-21 Tahun 2026. Teruskan melangkah dengan penuh keyakinan dan buktikan bahawa anak TVET mampu pergi lebih jauh demi masa depan dan negara.
