- Nor Rizanida binti Abdul Hamid
- IKBN Bandar Penawar
- Hits: 5
IKBN BANDAR PENAWAR DAN AADK JOHOR PERKUKUH KERJASAMA STRATEGIK
IKBN BANDAR PENAWAR DAN AADK JOHOR PERKUKUH KERJASAMA STRATEGIK
JOHOR BAHRU, 10 MAC 2026 – Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Bandar Penawar hari ini mengadakan kunjungan hormat ke atas Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Johor bagi memperkukuh jaringan kerjasama strategik dalam usaha memperkasa pembangunan belia serta pencegahan penyalahgunaan dadah.
Delegasi IKBN Bandar Penawar diketuai oleh Pengarahnya, Cik Fadhilah binti Ahmad, bersama Timbalan Pengarah Hal Ehwal Pelajar serta dua pegawai dari Jabatan Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar (HSE) dan Cawangan Hubungan Industri, Publisiti dan Seranta (CHIPS).
Ketibaan delegasi disambut oleh Pengarah AADK Negeri Johor, Tuan Haji Mohd Faisal Bin Maksom, bersama barisan pegawai kanan agensi.
Antara intipati utama pertemuan tersebut termasuklah kolaborasi dan kerjasama antara IKBN dan AADK dalam pelaksanaan program berkaitan pencegahan dadah. AADK mencadangkan Program TEKAD di IKBN serta pelantikan pegawai AADK sebagai tenaga pengajar pakar bagi menjayakan program tersebut. Selain itu AADK Negeri Johor juga telah berkongsi maklumat berkaitan perkhidmatan rawatan dan pemulihan secara sukarela yang ditawarkan sama ada di institusi mahupun di komuniti kepada pihak IKBN.
Turut diperkenalkan perkhidmatan Mobilisasi Rawatan & Pemulihan Tanpa Sempadan (MRT) sebagai salah satu inisiatif AADK dalam memperluaskan akses rawatan kepada masyarakat.
IKBN Bandar Penawar turut menawarkan peluang kursus jangka pendek kepada warga kerja AADK serta klien AADK sebagai usaha meningkatkan kemahiran dan kebolehpasaran mereka.Cik Fadhilah binti Ahmad menyatakan bahawa inisiatif ini merupakan langkah proaktif dalam memastikan pelatih IKBN bukan sahaja mahir dalam bidang teknikal, malah memiliki jati diri yang kuat untuk menjauhi ancaman dadah.Kerjasama ini diharapkan dapat melahirkan komuniti belia yang lebih sejahtera, berkemahiran, dan bebas daripada pengaruh dadah selaras dengan aspirasi negara disamping mengukuhkan lagi hubungan kerjasama antara kedua-dua agensi.
