- Nor Rizanida binti Abdul Hamid
- IKBN Bandar Penawar
- Hits: 12
KUNJUNGAN HORMAT PENGURUSAN IKBN BANDAR PENAWAR KE PERBADANAN USAHAWAN JOHOR SDN. BHD.
ISKANDAR PUTERI, 10 April 2026– Pengurusan Institut Kemahiran Belia Negara Bandar Penawar telah mengadakan satu kunjungan hormat ke Perbadanan Usahawan Johor Sdn. Bhd. (PUJB) hari ini bagi membincangkan peluang kerjasama strategik antara kedua-dua pihak.
Kunjungan ini bertujuan meneroka kolaborasi dalam pelaksanaan program pembangunan kemahiran, pembiayaan, pameran serta kerjasama industri yang berkaitan. Selain itu, perbincangan turut memberi tumpuan kepada integrasi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan elemen keusahawanan dalam usaha melahirkan usahawan berkemahiran tinggi.
Delegasi ini diketuai oleh Pengarah Institut Kemahiran Belia Negara Bandar Penawar, Cik Fadhilah Binti Ahmad, yang menyatakan harapan agar kerjasama ini dapat membuka lebih banyak peluang kepada pelajar dan industri setempat.
Antara potensi Kerjasama IKBN Bandar Penawar dan PUJB merangkumi :-
a) Program Inkubator Usahawan
Memberi pendedahan kepada pelajar IKBN mengenai geran atau sokongan perniagaan yang disediakan oleh PUJB.
b) Latihan Kemahiran & Pensijilan:
Menyelaraskan kursus pendek (seperti bidang hospitaliti ) dengan keperluan pasaran usahawan di Johor.
c) Promosi TVET:
Mengintegrasikan program latihan inklusif dengan inisiatif pembangunan usahawan negeri.
Kampus Bandar Raya Johor Bahru (ICC JB) ialah cawangan satelit yang dikendalikan oleh IKBN Bandar Penawar yang memfokuskan kepada latihan kemahiran massa dan kursus pendek merangkumi pelbagai bidang kemahiran popular iaitu:-
-Hospitaliti & Kulinari:
Kursus Barista, Pengurusan Kafe, Pembuatan Pastri, Kek, dan Roti.
-Kreatif:
Fotografi dan Suntingan Kreatif.
-Teknikal & Pematuhan:
Kursus Halal dan Amalan Kebersihan Baik (GHP).
Kunjungan ini dilihat sebagai langkah proaktif dalam memperkukuh jaringan strategik antara institusi latihan dan agensi pembangunan usahawan di negeri Johor.
