- Nor Rizanida binti Abdul Hamid
- IKBN Bandar Penawar
- Hits: 23
SELAMAT DATANG PELAJAR BAHARU KE IKBN BANDAR PENAWAR. 142 PELAJAR BAHARU MELAPOR DIRI DI IKBN BANDAR PENAWAR, BERMULA MINGGU PARADIGMA (MIPAR)
KOTA TINGGI, 27 Julai 2026 – Seramai 142 orang pelajar baharu secara rasmi melapor diri di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Bandar Penawar bagi mengikuti pengajian Sesi 2/2026, hari ini.Kehadiran para pelajar yang ditemani ibu bapa dan penjaga seawal 8.00 pagi tadi telah mencetuskan suasana ceria serta penuh semangat di sekitar perkarangan kampus. Proses pendaftaran diserikan lagi dengan Taklimat Ibu Bapa oleh Timbalan Pengarah Hal Ehwal Pelajar (TPHEP), Puan Normala binti Daman, serta Ucapan Aluan dan Selamat Datang oleh Timbalan Pengarah Pengurusan Latihan (TPPL), Encik Mohaizad bin Mohamad Daud yang bersama-sama turun padang bagi menyantuni serta memberikan sokongan moral kepada para pelajar.
Ibu bapa turut dibawa ke bengkel-bengkel bagi sesi lawatan bagi melihat sendiri faciliti dan ruang belajar anak-anak. Kesemua 142 pelajar ini bakal mengisi tempat dalam tujuh jurusan utama yang ditawarkan oleh pihak institut. Jurusan tersebut melibatkan bidang Penyediaan Pastri, Penyediaan Makanan, Penyajian Makanan & Minuman, Pengemasan, Kaunter Hadapan, Kimpalan, serta Juruperancah.
Kesemua kursus ini dirangka khusus bagi memenuhi permintaan tinggi tenaga kerja mahir dalam sektor hospitaliti dan industri berat. Kelancaran proses pendaftaran pada hari ini dibantu oleh komitmen tinggi kakitangan IKBN serta barisan fasilitator daripada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).
Sejurus selesai urusan dokumentasi, pemeriksaan kesihatan, dan agihan bilik asrama, para pelajar dijadualkan terus mengikuti Minggu Paradigma (MIPAR). Program orientasi ini akan berlangsung selama empat hari, bermula dari hari Isnin sehingga Khamis.
Pihak pengurusan IKBN Bandar Penawar mengucapkan syabas kepada semua 142 pelopor muda ini. Pihak institut berharap agar fasa suai kenal melalui MIPAR ini dapat membantu pelajar menyesuaikan diri dengan pantas, sekali gus membentuk modal insan yang berdisiplin dan berdaya saing demi masa depan negara.
TVET Pilihan Utama Kerjaya.
ILKBS Profesional Terunggul.
