IKBN Peretak, 11 Ogos 2026 (Selasa) - Surau Nursalam, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Peretak telah menganjurkan Program Kuliah Maghrib yang bertajuk “Takut Kepada Allah SWT” yang disampaikan oleh Ustaz Zali bin Salih.
Kuliah yang berlangsung selepas solat Maghrib ini memberi penekanan kepada para pelajar mengenai kepentingan rasa takut kepada Allah SWT (khauf) sebagai salah satu asas dalam membentuk keimanan dan keperibadian seorang Muslim.
Dalam penyampaian tersebut, Ustaz Zali bin Salih turut mengingatkan para pelajar agar sentiasa menyedari kebesaran dan kekuasaan Allah SWT serta menjadikan rasa takut kepada-Nya sebagai dorongan untuk meninggalkan segala larangan, melaksanakan perintah Allah dan memperbaiki akhlak serta tingkah laku dalam kehidupan seharian.
Program ini juga menjadi medium pengisian kerohanian kepada para pelajar IKBN Peretak agar sentiasa mendekatkan diri kepada Allah SWT, di samping membentuk jati diri yang lebih baik, berdisiplin dan bertanggungjawab.
Diharapkan pengisian kuliah ini dapat memberi manfaat dan kesedaran kepada para pelajar untuk sentiasa bermuhasabah serta menjadikan ketakwaan kepada Allah SWT sebagai panduan dalam kehidupan dan pembentukan masa depan yang lebih baik.
