05 Oktober 2026 - IKBN Peretak berkesempatan menghadiri POLYCC Fashion Week 2026 (POLYCCFW 2026) yang menampilkan Showcase Runway Hasil Rekaan Pelajar Fesyen dan Pakaian pada hari ini bertempat di Panggung Sari, Kompleks Kraf, Jalan Conlay, Kuala Lumpur.
Mengangkat tema “Threads of Time”, program ini mengetengahkan kreativiti, inovasi dan bakat pelajar dalam menghasilkan karya fesyen yang kreatif serta selari dengan perkembangan industri semasa. Pastinya satu pengalaman yang menarik untuk melihat sendiri hasil rekaan dan persembahan runway yang cukup memberi inspirasi kepada tetamu yang hadir.
Turut hadir mewakili IKBN Peretak ialah Pn. Normahsyuri Binti Md Shariff, Pengarah IKBN Peretak, Pn. Nurulakmar Binti Alias, Timbalan Pengarah Pengurusan Latihan, En. Azize Bin Abdullah, Ketua Bahagian Pakaian Wanita, para pengajar serta pelajar Semester 1 dari jurusan Jahitan Pakaian Wanita serta Diploma Fesyen dan Pakaian Semester 2.
Penyertaan ini bukan sahaja memberi peluang kepada warga IKBN Peretak untuk menyaksikan perkembangan terkini dunia fesyen, malah turut menjadi ruang untuk menimba inspirasi, berkongsi ilmu dan melihat potensi kreativiti pelajar dalam bidang fesyen dan pakaian.
