- Nor Salwah binti Yaacob
- IKBN Peretak
- Hits: 10
IKBN PERETAK PERKASA PENDIGITALAN PdP MELALUI TOT GOOGLE CLASSROOM
IKBN Peretak, 10 Ogos 2026 – Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Peretak terus memperkukuh agenda pendigitalan dalam Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) melalui pelaksanaan Training of Trainers (TOT) Google Classroom Pengajar IKBN Peretak yang telah diadakan secara dalam talian pada hari ini, bermula jam 9.30 pagi.
Sesi taklimat tersebut telah disampaikan oleh Pn. Norshazila Binti Mohamed Rahman, salah seorang ahli Jawatankuasa PdP Pendigitalan IKBN Peretak, yang memberikan penerangan dan panduan kepada para pengajar berkaitan penggunaan Google Classroom sebagai platform sokongan PdP bagi Sesi Pembelajaran 2.2026.
Pelaksanaan TOT ini bertujuan memberikan pendedahan serta meningkatkan kefahaman dan kemahiran para pengajar dalam mengurus Google Classroom, termasuk penyediaan bahan pembelajaran, penyampaian tugasan, komunikasi bersama pelajar serta pemantauan aktiviti dan hasil pembelajaran secara digital.
Selaras dengan usaha memperkukuh pelaksanaan PdP berasaskan teknologi, semua pengajar IKBN Peretak diwajibkan mewujudkan dan menggunakan Google Classroom bagi kursus atau modul yang diajar sepanjang Sesi 2.2026. Inisiatif ini merupakan langkah penting dalam memastikan penggunaan platform digital dapat dilaksanakan secara menyeluruh, sistematik dan konsisten dalam kalangan pengajar serta pelajar.
Sesi TOT tersebut telah mendapat penyertaan yang memberangsangkan dengan seramai 33 orang pengajar IKBN Peretak hadir mengikuti taklimat secara dalam talian.
Melalui pelaksanaan ini, IKBN Peretak berharap agar Google Classroom dapat dimanfaatkan secara optimum sebagai medium pengurusan PdP yang lebih teratur, fleksibel dan berkesan, di samping menyokong usaha melahirkan warga pendidik TVET yang kompeten serta bersedia mendepani transformasi pendidikan digital.
Pelaksanaan TOT Google Classroom ini juga mencerminkan komitmen berterusan IKBN Peretak dalam memperkasakan PdP digital dan membudayakan penggunaan teknologi dalam ekosistem pendidikan TVET selaras dengan keperluan semasa.
IKBN Peretak – Memperkasa TVET, Mendepani Transformasi Digital. 

