- Nor Salwah binti Yaacob
- IKBN Peretak
- Hits: 46
IKBN PERETAK SERLAH KEMAHIRAN TVET DI ASEAN YOUTH LEADERSHIP CONFERENCE (AYLC) 2025
Kuala Lumpur, 17 Oktober 2025 - Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Peretak telah menyertai ASEAN Youth Leadership Conference (AYLC) 2025 yang berlangsung pada 17 Oktober 2025 di Kuala Lumpur. Program anjuran Bahagian Pembangunan Belia, Kementerian Belia dan Sukan ini menghimpunkan penyertaan belia dari 11 negara ASEAN termasuk Malaysia, Myanmar, Thailand, Kemboja, Singapura, Indonesia, Laos, Vietnam, Filipina, Brunei dan Timor-Leste. AYLC 2025 mengetengahkan perbincangan berkaitan kepimpinan belia melalui tiga topik utama iaitu Shaping Youth Future, Next Gen Leadership dan Community Leadership Development in Rural ASEAN.
Sebagai pengisian booth pameran, IKBN Peretak telah menyediakan beberapa perkhidmatan menarik seperti Henna, Manicure dan aktiviti mewarna batik. Penyertaan ini bertujuan mempromosikan kepelbagaian bidang pembelajaran di institusi TVET serta memberi pendedahan kepada para belia mengenai peluang penjanaan pendapatan melalui kemahiran. Sambutan yang diterima amat menggalakkan, terutamanya booth Henna dan Manicure yang sentiasa menjadi tumpuan peserta yang ingin mencantikkan kuku mereka.
Booth IKBN Peretak turut menerima kunjungan istimewa daripada Professor Emerita Tan Sri Dato’ Dr. Mazlan binti Othman, Ketua Pengarah Agensi Angkasa Negara Malaysia. Beliau berkesempatan mencuba aktiviti mewarna batik yang disediakan dan menyatakan sokongan terhadap usaha memperkasakan kemahiran belia. Kehadiran beliau memberi suntikan semangat kepada para pelajar dan tenaga pengajar dalam memartabatkan pendidikan TVET di peringkat serantau.
Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada Jabatan Fesyen dan Pakaian serta Jabatan Kosmetologi IKBN Peretak atas komitmen dan kerjasama menjayakan penyertaan ini. IKBN Peretak juga merakamkan ucapan terima kasih kepada Bahagian Pembangunan Belia, Kementerian Belia dan Sukan atas jemputan dan peluang yang diberikan untuk turut serta dalam platform berprestij ini. Penyertaan ini menjadi bukti sokongan berterusan institusi terhadap pembangunan kepimpinan belia dan pemerkasaan kemahiran TVET di peringkat ASEAN.
