- Nor Salwah binti Yaacob
- IKBN Peretak
- Hits: 48
IKBN PERETAK SERTAI PAMERAN MODUL EKSPLORASI TVET DAN INDUSTRI PROGRAM LATIHAN KHIDMAT NEGARA (PLKN) 3.0 SIRI 2/2025 DI CIAST
14 Oktober 2025 | Shah Alam, Selangor - Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Peretak telah menyertai Pameran Modul Eksplorasi TVET dan Industri Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 Siri 2/2025 yang diadakan di Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST), Shah Alam, Selangor. Penyertaan ini dikendalikan oleh Cawangan Hubungan Industri (CHI) dengan kerjasama Jabatan Fesyen dan Pakaian, bagi memperkenalkan bidang kemahiran yang ditawarkan di bawah Institut Latihan Kementerian Belia dan Sukan (ILKBS).
Antara aktiviti utama yang dijalankan ialah demonstrasi “Do It Yourself (DIY) Bookmark”, iaitu aktiviti membuat penanda buku menggunakan bahan kitar semula seperti kain perca dan felt. Aktiviti ini memberi peluang kepada peserta untuk meneroka kreativiti serta mempelajari cara menjana nilai ekonomi melalui penghasilan produk berasaskan bahan terpakai.
Turut mencuri perhatian para pengunjung ialah pameran patung manekin berbusana batik, hasil rekaan dan jahitan pengajar serta pelatih Jabatan Fesyen dan Pakaian IKBN Peretak. Persembahan ini menonjolkan keunikan seni tekstil tempatan dan menunjukkan bagaimana elemen tradisional boleh digabungkan dengan rekaan moden dalam bidang fesyen.
Dalam masa yang sama, IKBN Peretak turut mengambil peluang untuk mempromosikan kemasukan pelajar baharu ILKBS bagi sesi Januari 2026, di samping memperkukuh jaringan kolaborasi dengan agensi latihan dan industri yang turut serta dalam program tersebut. Penyertaan ini secara tidak langsung memperkukuh peranan IKBN Peretak dalam memperkasa pelaksanaan TVET serta menyokong aspirasi kerajaan membangunkan modal insan berkemahiran tinggi.
