- Nor Salwah binti Yaacob
- IKBN Peretak
- Hits: 10
KURSUS PENGGUNAAN STRATEGI KOMUNIKASI TVET: MILENIAL DAN GEN Z
KUALA LUMPUR, 2 Oktober 2026 – Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Peretak telah menganjurkan Kursus Penggunaan Strategi Komunikasi TVET: Milenial dan Gen Z yang berlangsung selama tiga hari, mulai 30 September hingga 2 Oktober 2026 bertempat di UTM Hotel & Residensi.
Kursus yang disertai seramai 20 orang peserta daripada Skim E ini memberi penekanan kepada persediaan tenaga pengajar dalam menghadapi perubahan generasi pelajar, khususnya golongan Generasi Z (Gen Z) yang kini menjadi sebahagian besar kelompok pelajar dalam institusi pendidikan dan latihan TVET.
Kursus ini dikendalikan oleh fasilitator program, Dr. Syed Faizal bin Sitheek Rahman yang berkongsi pendekatan serta strategi komunikasi yang bersesuaian dengan karakter, keperluan dan corak interaksi generasi muda. Peserta turut didedahkan kepada kaedah komunikasi yang lebih berkesan bagi mewujudkan interaksi dua hala, meningkatkan penglibatan pelajar serta membina suasana pembelajaran yang positif dan responsif.
Pendekatan komunikasi yang bersesuaian dilihat penting bagi membantu tenaga pengajar menyesuaikan kaedah penyampaian ilmu dengan perkembangan teknologi, media sosial dan kecenderungan pembelajaran generasi masa kini, tanpa mengetepikan nilai disiplin, profesionalisme dan objektif latihan TVET.
Majlis penutupan kursus telah disempurnakan oleh Puan Hannita binti Mohd Salleh dari Cawangan Teknikal dan Kualiti Latihan, Bahagian Pembangunan Kemahiran Belia, Kementerian Belia dan Sukan.
Penganjuran kursus ini diharap dapat memperkukuh kompetensi komunikasi tenaga pengajar serta membantu melahirkan pendekatan pengajaran TVET yang lebih relevan, inklusif dan selari dengan keperluan generasi pelajar masa kini.
