- Nor Salwah binti Yaacob
- IKBN Peretak
- Hits: 25
MEDAN PENENTU KEJAYAAN! PEPERIKSAAN AKHIR ILKBS SESI 2/2026 RASMI BERMULA
IKBN Peretak, 20 Julai 2026 – Peperiksaan Akhir ILKBS Sesi 2/2026 telah bermula hari ini di Dewan DAHA, IKBN Peretak dengan penglibatan seramai 266 orang pelajar daripada 14 jurusan.
Peperiksaan teori telah dilaksanakan pada 20 Julai 2026 pada sesi sebelah pagi, manakala peperiksaan ulang nilai dijadualkan berlangsung pada sebelah petang. Bagi memastikan semua pelajar mendapat peluang yang sama untuk dinilai, seramai 25 orang pelajar yang sedang menjalani kuarantin turut menduduki peperiksaan mengikut prosedur dan ketetapan yang telah ditetapkan oleh pihak institut.
Pelajar yang berjaya lulus peperiksaan teori akan meneruskan perjuangan mereka dengan menduduki peperiksaan amali di bengkel masing-masing mengikut jadual yang telah ditetapkan. Peperiksaan amali ini bertujuan menilai tahap penguasaan kemahiran serta kompetensi pelajar berdasarkan bidang pengajian masing-masing.
Sepanjang peperiksaan berlangsung, semua pelajar dikehendaki mematuhi peraturan peperiksaan bagi memastikan proses penilaian berjalan dengan lancar, telus dan berintegriti. Pelaksanaan peperiksaan turut mendapat kerjasama padu daripada pihak pengurusan, Jawatankuasa Peperiksaan, pengawas peperiksaan serta seluruh warga kerja IKBN Peretak.
Semoga semua pelajar diberikan ketenangan, dipermudahkan urusan sepanjang peperiksaan dan berjaya memperoleh keputusan yang cemerlang sebagai hasil usaha serta komitmen yang telah dicurahkan sepanjang sesi pembelajaran.
Selamat Maju Jaya kepada semua calon Peperiksaan Akhir ILKBS Sesi 2/2026
