- Nor Salwah binti Yaacob
- IKBN Peretak
- Hits: 28
VERIFIKASI FAIL PORTFOLIO PERKUKUH KUALITI PENILAIAN PEPERIKSAAN AKHIR ILKBS SESI 2/2026
IKBN Peretak, 20 Julai 2026 – Bersempena pelaksanaan Peperiksaan Akhir ILKBS Sesi 2/2026, proses verifikasi fail portfolio turut dilaksanakan bagi memastikan setiap proses penilaian memenuhi standard dan kualiti yang telah ditetapkan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) serta Institut Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS).
Verifikasi ini melibatkan semua kategori subjek, iaitu Subjek Umum, Bina Insan, Umum Teknikal dan Subjek Teknikal. Proses ini bertujuan menyemak serta mengesahkan dokumen portfolio, eviden penilaian dan rekod pencapaian pelajar agar selaras dengan keperluan kurikulum serta prosedur penilaian yang ditetapkan.
Bagi peperiksaan kali ini, IKBN Peretak turut menerima kehadiran Pengawas Pemeriksa Luaran (PPL) bagi bidang Penyediaan & Pembuatan Makanan untuk Semester 2 dan Semester 4. Bagi 12 jurusan lagi adalah verifikasi oleh PPL lantikan dalaman yang dilaksanakan secara silang. Penglibatan PPL merupakan sebahagian daripada mekanisme jaminan kualiti bagi memastikan proses penilaian dilaksanakan secara telus, adil dan menepati standard kompetensi yang telah ditetapkan.
Dua orang Pengawas Pemeriksa Luaran yang terlibat ialah En. Mohd Zoolhilmi bin Musa dan Pn. Anne Musliana binti Mustapa. Kehadiran mereka bukan sahaja memperkukuhkan kredibiliti proses penilaian, malah memberikan keyakinan bahawa setiap pelajar dinilai berdasarkan standard yang seragam dan berkualiti.
Semoga pelaksanaan verifikasi fail portfolio dan proses penilaian Peperiksaan Akhir ILKBS Sesi 2/2026 ini terus berjalan lancar serta menjadi pemangkin kepada kecemerlangan akademik dan kemahiran para pelajar IKBN Peretak.
