- Nor Salwah binti Yaacob
- IKBN Peretak
- Hits: 60
MENCUNGKIL POTENSI BELIA: LAWATAN KERJAYA SMK PROTON CITY KE IKBN PERETAK CETUS INSPIRASI HALA TUJU TVET
IKBN Peretak, 20 Ogos 2026 – Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Peretak telah menerima lawatan dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Proton City, Tanjong Malim, Perak.
Kunjungan ini merupakan inisiatif proaktif pihak sekolah untuk mendedahkan hala tuju kerjaya dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) selepas tamat persekolahan menengah.
Delegasi lawatan disambut mesra oleh Encik Shahdan bin Zainal, Timbalan Pengarah Hal Ehwal Pelajar yang menyampaikan ucapan aluan, diikuti taklimat ringkas oleh Cik Norsyahidatul Farah binti Nanyan, Ketua Cawangan Hubungan Industri.
Sesi lawatan diteruskan dengan kunjungan ke bengkel bagi memberikan pengalaman interaktif kepada pelajar terhadap kemahiran yang ditawarkan. Pelajar berpeluang menyaksikan suasana kelas di bengkel Jabatan Hospitaliti serta Jabatan Kosmetologi.
Selain itu, pendedahan turut diberikan di Jabatan Fesyen dan Pakaian menerusi Mari Mencuba Kraf Kreatif. Pendedahan ini diharapkan dapat menyemarakkan minat serta memberi pemahaman yang lebih jelas kepada pelajar mengenai potensi TVET.
Pengalaman menyaksikan kemahiran secara langsung ini penting dalam membina keyakinan diri pelajar. Diharapkan lawatan ini menjadi titik tolak kepada mereka dalam memilih hala tuju kerjaya yang menjamin masa depan gemilang dalam bidang kemahiran.
