- Nor Salwah binti Yaacob
- IKBN Peretak
- Hits: 145
MINGGU PARADIGMA PELAJAR (MIPAR) SESI 1.2026 IKBN PERETAK PLATFORM PENDEDAHAN AWAL PELAJAR BAHARU
IKBN Peretak, 30 Januari 2026 - IKBN Peretak telah menganjurkan Minggu Paradigma Pelajar Baharu (MIPAR) Sesi 1/2026 pada 26 hingga 30 Januari 2026 dengan penyertaan seramai 75 orang pelajar baharu. Program ini menjadi platform penting untuk membantu pelajar mengenali persekitaran Institut, budaya pembelajaran serta menyesuaikan diri dengan kehidupan baharu di IKBN Peretak.
Sepanjang minggu orientasi ini, pelajar didedahkan dengan pelbagai aktiviti menarik dan bermanfaat seperti ice breaking, Latihan Dalam Kumpulan (LDK), aktiviti dinamika kumpulan, team building serta slot motivasi bersama alumni. Turut diadakan beberapa taklimat penting merangkumi aspek akademik, pengurusan asrama, perkhidmatan kesihatan serta peraturan tatatertib bagi memastikan pelajar lebih bersedia dan berinformasi.
Program ini turut diserikan dengan aktiviti luar melalui Program Peretak Sihat 'Mendaki Bukit Tongek', selain perkongsian ilmu daripada agensi luar seperti YADIM, AADK dan LPPKN. Sesi interaksi bersama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) juga memberi pendedahan awal tentang kepimpinan pelajar serta peranan mereka dalam kehidupan Institut.
Majlis Perasmian Penutup telah disempurnakan oleh Pengarah IKBN Peretak, Puan Normahsyuri Binti Md. Shariff pada 30 Januari 2026. Beliau berharap agar semua pelajar baharu dapat memanfaatkan peluang pembelajaran sebaiknya serta membina sahsiah, disiplin dan jati diri yang cemerlang sepanjang pengajian di IKBN Peretak.
