- Nor Salwah binti Yaacob
- IKBN Peretak
- Hits: 17
PAMERAN TVET & HARI KERJAYA MERIAHKAN SAMBUTAN KEPUTUSAN SPM 2025 DI SMK SLIM
SLIM RIVER, 31 Mac 2026 – Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Peretak telah dijemput menyertai Pameran TVET dan Hari Kerjaya yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Slim, Slim River, Perak bersempena pengumuman keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.
Program yang meriah ini melibatkan seramai 740 pelajar, termasuk 95 calon SPM 2025 yang hadir bagi menerima keputusan masing-masing. Pelbagai aktiviti menarik serta pameran daripada institusi pendidikan dan agensi TVET awam dan swasta turut hadir bagi memberi pendedahan awal kepada pelajar tentang peluang pendidikan lanjutan dan hala tuju kerjaya, khususnya dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
IKBN antara pempamer turut berkongsi maklumat mengenai program kemahiran yang ditawarkan, sekali gus membuka minda pelajar terhadap potensi kerjaya berasaskan kemahiran.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Tuan Hj Aman Shah bin Radzi, Pegawai SIPLeader, Pejabat Pendidikan Daerah Muallim, serta Puan Hajah Siti Faridah binti Othman, Pemangku Pengetua SMK Slim. Guru-guru Bimbingan dan Kaunseling juga memainkan peranan penting dalam menjayakan program ini yang berlangsung di Dataran Serbaguna sekolah.
Dalam pada itu, ucapan tahniah dizahirkan kepada semua calon SPM 2025, khususnya mereka yang mencapai keputusan cemerlang. Program ini bukan sahaja meraikan kejayaan pelajar, malah menjadi platform penting untuk menggalakkan mereka meneroka bidang TVET yang menawarkan pelbagai peluang kerjaya yang relevan dan berdaya saing.
Penyertaan IKBN dilihat memberi impak positif apabila pelajar dapat memperoleh gambaran lebih jelas tentang pilihan kerjaya serta laluan pendidikan yang boleh diceburi, seterusnya membantu mereka merancang masa depan dengan lebih yakin.
