PCKBS TEROKAI DUNIA TVET: MENYELAMI PENGALAMAN PEMBELAJARAN DI IKBN PERETAK!

    PCKBS TEROKAI DUNIA TVET: MENYELAMI PENGALAMAN PEMBELAJARAN DI IKBN PERETAK!

     
    24 September 2026 | IKBN Peretak – IKBN Peretak hari ini tampil meriah apabila menerima Lawatan Rasmi PUSPANITA Kementerian Belia dan Sukan (PCKBS) yang diketuai oleh Pengerusi PCKBS, YBhg. Datin Musidah binti Mohid@Mohamad bersama seramai 30 orang ahli PCKBS. Lawatan ini memberi peluang kepada ahli PCKBS untuk melihat sendiri dengan lebih dekat keunikan proses pengajaran dan pembelajaran berasaskan kemahiran yang dilaksanakan di IKBN Peretak, selain turut merasai pengalaman menyertai aktiviti hands-on yang disediakan.

    Bermula dengan Welcoming Drink dan sesi bergambar, rombongan kemudiannya dibawa menyelami pengalaman pembelajaran di beberapa jabatan. Di Jabatan Hospitaliti, peserta mencuba pengalaman menerusi demonstrasi barista dan dekorasi cupcake, manakala Jabatan Kosmetologi pula mencuri perhatian dengan aktiviti asas urutan tangan serta demonstrasi penggayaan rambut menggunakan curly tong. Kemeriahan diteruskan dengan Showcase Fashion Show di The Glass, yang mengetengahkan kreativiti, bakat dan hasil sentuhan pelajar di Jabatan Fesyen dan Pakaian. Showcase ini telah memperagakan 34 jenis pakaian. Pengisian yang interaktif dan santai ini turut merealisasikan hasrat PCKBS untuk meluangkan masa bersama serta menyertai aktiviti bersesuaian yang sedia ada di IKBN Peretak.

    Lebih daripada sekadar sebuah lawatan, kunjungan ini menjadi jambatan yang menghubungkan PCKBS dengan dunia TVET secara lebih dekat dan bermakna. Pengalaman menyertai aktiviti amali, menyaksikan demonstrasi kemahiran serta menikmati hasil kreativiti pelajar memberikan gambaran nyata tentang pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman yang menjadi kekuatan IKBN Peretak. Lawatan kemudiannya diakhiri dengan jamuan Hi-Tea dalam suasana penuh kemesraan. Semoga kunjungan ini menjadi satu pengalaman bermakna serta terus menyemarakkan hubungan dan jaringan kerjasama antara PCKBS dan IKBN Peretak.

    Institut Kemahiran Belia Negara Peretak, 
    Jalan Ampang Pecah, 
    44000 Kuala Kubu Bharu,
    Selangor Darul Ehsan

    Nombor Telefon    : 03-6099 6000
    Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.