PELAJAR IKBN PERETAK RAIH ANUGERAH PELAJAR TERBAIK DALAM LATIHAN SEMPENA YRMS 2025

    PELAJAR IKBN PERETAK RAIH ANUGERAH PELAJAR TERBAIK DALAM LATIHAN SEMPENA YRMS 2025

     
    IKTBN Dusun Tua, 6 November 2025 – Kejayaan membanggakan telah dicatatkan oleh pelajar Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Peretak, Saudari Farhana binti Kamarudin, apabila beliau dinobatkan sebagai penerima Anugerah Yayasan Raja Muda Selangor (YRMS) 2025 bagi kategori Pelajar Terbaik Dalam Latihan sempena Hari Terbuka TVET YRMS 2025 yang berlangsung di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Dusun Tua.

    Majlis penyampaian anugerah telah disempurnakan oleh Duli Yang Teramat Mulia (D.Y.T.M.) Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, Raja Muda Selangor merangkap Penaung Diraja YRMS.

    Anugerah berprestij ini diberikan sebagai pengiktirafan kepada pelajar dan alumni YRMS yang menunjukkan kecemerlangan dalam latihan praktikal (On-Job Training) serta komitmen tinggi dalam bidang kemahiran TVET. Sebagai tanda penghargaan, Saudari Farhana menerima Piala Penghargaan, Sijil Penghargaan, Plate Penghargaan, dan wang saguhati bernilai RM1,000.00.

    Menurut kenyataan daripada pihak Yayasan Raja Muda Selangor, penganugerahan ini bertujuan menghargai usaha gigih para pelajar TVET dalam menyumbang kepada pembangunan negara berkemahiran, di samping menjadi inspirasi kepada belia lain untuk terus cemerlang dalam bidang kemahiran dan latihan.

    Majlis Hari Terbuka TVET YRMS 2025 turut dihadiri lebih 1,000 pengunjung yang disajikan dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk pertandingan TVET, bengkel kerjaya, bimbingan kewangan serta sesi perkongsian industri.

    Kejayaan ini sekali gus mengharumkan nama IKBN Peretak dan membuktikan bahawa institusi kemahiran di bawah Kementerian Belia dan Sukan terus melahirkan pelajar berkualiti tinggi yang berdaya saing dalam dunia pekerjaan moden.

    Institut Kemahiran Belia Negara Peretak, 
    Jalan Ampang Pecah, 
    44000 Kuala Kubu Bharu,
    Selangor Darul Ehsan

    Nombor Telefon    : 03-6099 6000
    Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.