- Nor Salwah binti Yaacob
- IKBN Peretak
- Hits: 15
PELAJAR IKBN PERETAK SERTAI PROGRAM RAKAN MUDA NATURE ESCAPE X RAKAN PRIHATIN DI SUNGAI CHILING
Kuala Kubu Bharu, 27 Jun 2026 – Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Peretak telah menghantar penyertaan pelajar bagi menyertai Program Rakan Muda Nature Escape X Rakan Prihatin: Mobilisasi Sukarelawan Rakan Muda Siri 1 Peringkat Kawasan Lembah Pantai Tahun 2026 yang berlangsung di Sungai Chiling Fish Sanctuary, Kuala Kubu Bharu, Selangor. Program anjuran Pejabat Belia dan Sukan Kawasan Lembah Pantai ini turut diiringi oleh pegawai institut bagi memastikan kelancaran penyertaan pelajar sepanjang program berlangsung.
Program ini bertujuan memupuk semangat kesukarelawanan dalam kalangan belia di samping meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan pemeliharaan alam sekitar dan kelestarian kawasan rekreasi. Pelbagai aktiviti berasaskan pendidikan alam sekitar dan khidmat komuniti telah dilaksanakan bagi memberi pendedahan secara langsung kepada peserta mengenai tanggungjawab menjaga khazanah alam semula jadi.
Penyertaan pelajar IKBN Peretak dalam program seumpama ini diharap dapat melahirkan belia yang bukan sahaja berkemahiran dalam bidang TVET, malah mempunyai jati diri, semangat kesukarelawanan serta keprihatinan terhadap isu-isu alam sekitar. Penglibatan aktif dalam program komuniti turut mencerminkan komitmen institut dalam melahirkan graduan yang seimbang dari aspek kemahiran, kepimpinan dan tanggungjawab sosial.
