- Nor Salwah binti Yaacob
- IKBN Peretak
- Hits: 28
PEMANGKIN HALA TUJU TVET: IKBN PERETAK SUNTIK INSPIRASI BUAT 40 PELAJAR SMK SUNGAI KERTAS
KUALA KUBU BHARU, 17 September 2026 - Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKBN) Peretak telah menerima lawatan sambil belajar daripada 40 orang pelajar Tingkatan 5 dan lima guru pengiring SMK Sungai Kertas pada 17 September 2026. Kunjungan ini bermatlamat untuk membuka minda dan memberikan penjelasan yang jelas kepada pelajar mengenai hala tuju pendidikan berasaskan Kemahiran dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) selepas tamat persekolahan.
Ketibaan rombongan disambut dengan majlis alu-aluan oleh Timbalan Pengarah Hal Ehwal Pelajar, En. Shahdan bin Zainal di Auditorium. Sesi kemudiannya diteruskan dengan taklimat pengenalan komprehensif mengenai program latihan yang ditawarkan, kemudahan kampus, serta prospek kerjaya oleh Ketua Cawangan Hubungan Industri, Cik Norsyahidatul Farah binti Nanyan.
Kemuncak lawatan melibatkan lawatan berpandu ke tiga bengkel kemahiran utama iaitu Jabatan Kosmetologi, Jabatan Fesyen dan Pakaian, serta Jabatan Hospitaliti. Para pelajar bukan sahaja diberi pendedahan mengenai modul pembelajaran seperti gaya rambut, terapi kecantikan, dan teknik rekaan pakaian, malah turut berpeluang menyaksikan penerangan dan demonstrasi amali secara langsung, termasuklah penyediaan Danish Pastry di bengkel Roti.
