- Nor Salwah binti Yaacob
- IKBN Peretak
- Hits: 9
PROGRAM BACAAN DOA AKHIR TAHUN DAN AWAL TAHUN HIJRAH PERINGKAT IKBN PERETAK
IKBN Peretak, 16 Jun 2026 (Selasa) - Unit Hal Ehwal Islam IKBN Peretak telah menganjurkan Program Bacaan Doa Akhir Tahun Hijrah dan Bacaan Doa Awal Tahun Hijrah yang melibatkan para pelajar serta warga institut sebagai tanda kesyukuran atas perjalanan tahun yang telah berlalu dan sebagai permulaan yang baik bagi tahun baharu Hijrah.
Program yang berlangsung dalam suasana penuh khusyuk dan harmoni ini telah dipimpin oleh Ustaz Shahrul Iman bin Hasuana. Majlis dimulakan dengan bacaan doa akhir tahun Hijrah selepas solat Asar sebagai tanda memohon keampunan atas segala kekhilafan dan kesalahan yang telah dilakukan sepanjang tahun yang lalu.
Selepas solat Maghrib berjemaah, program diteruskan dengan bacaan doa awal tahun Hijrah yang bertujuan memohon keberkatan, kesejahteraan, perlindungan serta petunjuk daripada Allah SWT agar tahun baharu yang bakal ditempuhi dipenuhi dengan amal soleh dan kejayaan dalam kehidupan.
Dalam tazkirah ringkas yang disampaikan, Ustaz Shahrul Iman menekankan kepentingan hijrah dalam kehidupan seorang Muslim, bukan sahaja dari sudut perpindahan fizikal, tetapi juga perubahan ke arah kebaikan dari segi akhlak, ibadah dan amalan harian. Beliau turut mengajak para pelajar untuk menjadikan kedatangan tahun baharu Hijrah sebagai satu titik permulaan bagi memperbaharui azam dan meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT.
