IKBN Peretak, 1 Mac 2026 – Program Iktikaf Ramadan Santunan YADIM (IRSYAD) telah berjaya dilaksanakan selama dua hari satu malam bermula 28 Februari hingga 1 Mac 2026 bertempat di Masjid Hasanah, Bangi dengan penglibatan seramai lima orang pelajar dari Institut Kemahiran Belia Negara Peretak.
Program anjuran YADIM ini bertujuan untuk mengimarahkan bulan Ramadan di kalangan belia. Pengisian program dimulakan dengan sesi pendaftaran peserta, diikuti aktiviti ziarah mahabbah bersama komuniti setempat dan street dakwah yang memberi peluang kepada peserta menyantuni masyarakat. Program diteruskan dengan Iftar Jamaie bersama orang ramai serta agihan bubur lambuk.
Pada waktu malam, para peserta menyertai Qiyamullail yang merangkumi solat malam, bacaan Al-Quran dan munajat bagi mengukuhkan hubungan dengan Allah SWT. Program turut diserikan dengan ceramah bertajuk “Ramadan Membina Jiwa Sejahtera” yang memberi penekanan kepada kepentingan pembinaan rohani, pengurusan emosi dan pembentukan akhlak sepanjang bulan Ramadan.
Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh YB Senator Marhamah Rosli, Yang Berhormat Timb Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), yang dalam ucapannya menzahirkan penghargaan atas komitmen para peserta.
