PROGRAM YOU MATTER – MINDA SIHAT REMAJA DI IKBN PERETAK

    PROGRAM YOU MATTER – MINDA SIHAT REMAJA DI IKBN PERETAK

     
    IKBN Peretak, 7 Mei 2026 – Seramai 150 pelajar Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Peretak menyertai Program "You Matter – Minda Sihat Remaja Di IKBN Peretak" yang bertujuan untuk memperkasakan kesedaran kesihatan mental dan fizikal dalam kalangan belia.

    Program anjuran Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Hulu Selangor dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Pelajar IKBN Peretak itu menekankan kepentingan pengurusan emosi dan gaya hidup sihat sebagai asas kecemerlangan pelajar.

    Antara pengisian utama termasuklah slot pendidikan mengenai bahaya vape dan rokok. Pelajar didedahkan dengan faktor penglibatan, kesan buruk kepada kesihatan, serta strategi berkesan untuk menjauhi tabiat tersebut.

    Selain kesihatan fizikal, aspek kesejahteraan jiwa turut diberi tumpuan melalui sesi "Jaga Emosi Jaga Kawan". Dalam slot ini, para peserta diajar memahami maksud emosi serta cara mencari penyelesaian yang positif sekiranya menghadapi tekanan perasaan. Aktiviti interaktif seperti "Brain Gym" turut dijalankan, di mana pelajar melakonkan pelbagai situasi berkaitan emosi untuk menguji daya tahan mental mereka.

    Program diakhiri dengan perkongsian kritikal mengenai perbezaan antara stres dan kemurungan (depression). Melalui slot ini, pelajar dibekalkan dengan kemahiran mengenalpasti simptom awal dan kaedah menangani tekanan sebelum ia melarat menjadi masalah kesihatan mental yang serius.

    Inisiatif ini diharapkan dapat melahirkan komuniti pelajar yang bukan sahaja mahir dalam bidang teknikal, malah mempunyai jati diri dan minda yang cerdas.

    Institut Kemahiran Belia Negara Peretak, 
    Jalan Ampang Pecah, 
    44000 Kuala Kubu Bharu,
    Selangor Darul Ehsan

    Nombor Telefon    : 03-6099 6000
    Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.