- Nor Salwah binti Yaacob
- IKBN Peretak
- Hits: 9
SEMARAK MUHARRAM SUBURKAN PENGORBANAN: IKBN PERETAK HAYATI NILAI HIJRAH MELALUI SIMFONI HIJRAH & SYIAR KORBAN 2026
"MENELUSURI HIJRAH , MENGHAYATI PENGORBANAN, MEMPERKASA INTEGRITI"
IKBN PERETAK, 26 Jun 2026 – Suasana penuh harmoni, ukhuwah dan penghayatan mewarnai Program Simfoni Hijrah dan Syiar Korban 2026 yang berlangsung di Surau Nur Salam, IKBN Peretak dengan penyertaan aktif warga institut dalam menghayati erti sebenar hijrah dan pengorbanan.
Program yang diadakan bersempena kedatangan tahun baharu Islam ini telah diserikan dengan kehadiran Pengarah IKBN Peretak, Pn. Normahsyuri binti Md. Shariff, serta pegawai dan pelajar yang bersama-sama menyemarakkan sambutan dalam suasana penuh keberkatan.
Acara dimulakan dengan bacaan Yasin yang dipimpin oleh Ustaz Shahrul Iman bin Hasuana, sebelum diteruskan dengan ceramah bertajuk “Menelusuri Hijrah, Menghayati Pengorbanan, Memperkasa Integriti” yang disampaikan oleh DMY Khairulanwar Misnan. Ceramah tersebut memberi suntikan motivasi dan kesedaran kepada para pelajar tentang pentingnya perubahan ke arah yang lebih baik serta pengorbanan sebagai asas kejayaan dalam kehidupan.
Kemuncak program menyaksikan aktiviti mengacau Bubur Asyura yang mendapat sambutan menggalakkan daripada warga IKBN Peretak. Aktiviti tradisi ini bukan sahaja menghidupkan budaya gotong-royong, malah menjadi medium memperkukuhkan semangat kebersamaan, toleransi dan perpaduan dalam kalangan warga institut.Program diteruskan dengan pengagihan Bubur Asyura kepada warga IKBN Peretak sebagai simbol kesyukuran, perkongsian rezeki dan kasih sayang sesama insan.
Penganjuran program ini diharapkan dapat melahirkan generasi TVET yang bukan sahaja cemerlang dalam kemahiran, malah mempunyai nilai sahsiah, keimanan dan semangat pengorbanan yang tinggi dalam menghadapi cabaran masa hadapan.
Penganjuran program ini diharapkan dapat melahirkan generasi TVET yang bukan sahaja cemerlang dalam kemahiran, malah mempunyai nilai sahsiah, keimanan dan semangat pengorbanan yang tinggi dalam menghadapi cabaran masa hadapan.
