- Nor Salwah binti Yaacob
- IKBN Peretak
- Hits: 139
SESI 1.2026 BERMULA: IKBN PERETAK SAMBUT 75 PELAJAR BAHARU
IKBN Peretak, 26 Januari 2026 - Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Peretak telah menerima kehadiran 75 orang pelajar baharu bagi sesi Januari 2026. Seawal jam 8.00 pagi, suasana institut mula meriah dengan kehadiran pelajar bersama ibu bapa dan penjaga untuk urusan pendaftaran yang berlangsung di Dewan DAHA bermula jam 9.00 pagi. Program diteruskan dengan sesi taklimat khas kepada ibu bapa dan penjaga di Auditorium IKBN Peretak, yang berlangsung dari jam 11.15 pagi hingga 1.00 tengah hari.
Sesi taklimat tersebut dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Pengarah IKBN Peretak, Puan Normahsyuri binti Md Shariff, diikuti perkongsian oleh Timbalan Pengarah Pengurusan Latihan, Puan Nurulakmar binti Alias serta Timbalan Pengarah Hal Ehwal Pelajar, Encik Shahdan bin Zainal. Turut hadir ialah Ketua-Ketua Jabatan dan Ketua Cawangan. Dalam ucapannya, Pengarah menekankan kepentingan disiplin, sahsiah diri dan kesungguhan menuntut ilmu sepanjang tempoh pengajian, serta menzahirkan harapan agar dapat meraikan kejayaan pelajar bersama ibu bapa pada Majlis Konvokesyen kelak.
IKBN Peretak terus menjadi pilihan belia dalam bidang TVET dengan menawarkan program kemahiran yang relevan dan berdaya saing, antaranya Diploma Rekaan Fesyen, Penyajian, serta Perekaan Gaya Rambut. Diharapkan para pelajar baharu bukan sahaja cemerlang dalam kemahiran teknikal, malah turut membina jati diri, berilmu dan berakhlak tinggi selaras dengan aspirasi melahirkan graduan TVET yang holistik.
