- Nor Hanifah binti Sukardi
- IKSN Kuala Langat
- Hits: 28
IKSN CIPTA SEJARAH TERIMA PENGIKTIRAFAN MALAYSIA BOOK OF RECORDS MELALUI INISIATIF KITAR SEMULA SISA KAYU
MELAKA, 7 Ogos 2026 – Institut Kemahiran Sukan Negara (IKSN), Kementerian Belia dan Sukan (KBS), berjaya mengharumkan nama institusi apabila menerima pengiktirafan The Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi penyertaan dalam Program Inisiatif Kitar Semula Sisa Kayu sempena Sambutan Hari Landskap Negara 2026 yang berlangsung di Stadium Hang Jebat pada 6 hingga 7 Ogos yang lalu.
Program anjuran SWCorp Malaysia itu menghimpunkan penyertaan daripada 15 institusi TVET seluruh negara yang diwakili oleh pelajar dan pengajar dalam bidang pembuatan perabot bagi menjayakan usaha memperkasa amalan kelestarian melalui kitar semula bahan buangan.
Sebanyak 26 tan sisa kayu palet terbuang telah dimanfaatkan untuk menghasilkan produk perabot yang berkualiti, sekali gus berjaya mencatat rekod dalam The Malaysia Book of Records. Sepanjang program berlangsung, peserta menghasilkan 195 buah kerusi dan 105 buah meja, menjadikan keseluruhan sebanyak 300 unit perabot berjaya disiapkan.
IKSN menghantar seramai 12 orang peserta yang terdiri daripada dua orang pengajar, iaitu Puan Rohana Apandi dan Encik Mazli Mohamad, bersama 10 orang pelajar daripada Jabatan Teknologi Awam bagi mewakili institusi dalam program berprestij tersebut.
Penyertaan ini membuktikan komitmen IKSN dalam menyokong agenda pembangunan mampan serta memperkasakan pendidikan TVET melalui penerapan elemen inovasi, kemahiran teknikal dan tanggungjawab terhadap pemeliharaan alam sekitar.
Tahniah dan syabas diucapkan kepada seluruh kontinjen IKSN atas kejayaan membanggakan ini yang sekali gus mengangkat nama institut di peringkat kebangsaan menerusi pengiktirafan The Malaysia Book of Records.
TVET Pilihan Utama Kerjaya
ILKBS Profesional Terunggul
#TeamILKBS #TeamKBS #KitaSemuaTeamMAS #TVETMalaysia #MalaysiaMADANI MADANIBekerja RancakkanMADANI
