- Nor Hanifah binti Sukardi
- IKSN Kuala Langat
- Hits: 2
KURSUS ASAS BEKAM FUTURE YOUTH SKILLS PERKASA KEMAHIRAN BELIA
BANTING, 12 Ogos 2026 – Institut Kemahiran Sukan Negara (IKSN) telah menganjurkan Kursus Asas Bekam di bawah Program Future Youth Skills selama tiga hari bermula 10 hingga 12 Ogos 2026 bertempat di Jabatan Perkhidmatan Sukan, IKSN.
Program ini merupakan inisiatif berterusan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui IKSN dalam memperkasa golongan belia dengan ilmu pengetahuan serta kemahiran praktikal yang relevan dengan keperluan semasa.
Penganjuran kursus turut bertujuan membantu belia menghadapi cabaran kos sara hidup melalui peningkatan kemahiran yang berpotensi membuka peluang pekerjaan serta penglibatan dalam bidang keusahawanan.
Bagi pelaksanaan kursus kali ini, IKSN telah bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dengan melibatkan penyertaan belia dari Sekolah Tunas Bakti dan Pusat Perkembangan Kemahiran Kebangsaan Serendah, Selangor.
Seramai 20 orang belia berusia antara 15 hingga 18 tahun bersama lima pegawai pengiring telah menyertai kursus berkenaan.
Sepanjang kursus, para peserta didedahkan dengan pengetahuan dan kemahiran berkaitan asas urutan, keperluan bekam serta asas rawatan bekam sebagai pendedahan awal dalam bidang terapi sukan.
Antara aspek yang diberikan penekanan ialah pengenalan peralatan, prosedur keselamatan serta asas pelaksanaan rawatan bekam secara betul dan selamat.
Pendekatan secara teori dan praktikal turut memberi peluang kepada peserta memahami proses rawatan serta mempraktikkan kemahiran asas yang dipelajari sepanjang kursus di bawah bimbingan tenaga pengajar.
Penganjuran program ini diharapkan dapat menarik minat lebih ramai belia untuk meneroka bidang terapi sukan dengan lebih mendalam serta menjadikannya sebagai salah satu pilihan kemahiran dan kerjaya pada masa hadapan.
Ilmu dan kemahiran yang diperoleh juga diharap dapat dimanfaatkan oleh peserta dalam kehidupan seharian selain menjadi asas untuk meningkatkan kebolehpasaran serta menjana pendapatan pada masa hadapan.
TVET Pilihan Utama Kerjaya
ILKBS Profesional Terunggul
